Sesi ketiga Taklimat Umum Kemajuan Projek MRT bagi tahun 2019 telah dianjurkan oleh Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) di Pusat Informasi MRT Bandar Malaysia Utara pada 25 April 2019.
Sesi tersebut meraih penglibatan dari Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan pihak berkuasa tempatan dari kawasan Sungai Besi ke Putrajaya.
Turut hadir adalah wakil dari pejabat-pejabat YB Gobind Singh (Ahli Parlimen Puchong), YB Mohamed Hanipa Maidin (Ahli Parlimen Sepang) dan YB Dr Siti Mariah Mahmud (ADUN Seri Serdang) serta wakil dari Majlis Perbandaran Subang Jaya dan Majlis Perbandaran Sepang.
Sama seperti dua sesi sebelumnya, taklimat itu adalah untuk memaklumkan para hadirin mengenai kemajuan pembinaan Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) dengan fokus kepada pakej kerja V205 hingga V210.
Penyampaian kemajuan pembinaan Laluan SSP telah diberikan oleh En Mohar Zainal Abidin, Pengurus Kanan Perhubungan Awam dan Pengurusan Pihak Berkepentingan MMC-Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd. Para hadirin telah dimaklumkan bahawa kemajuan keseluruhan untuk Laluan SSP pada Mac 2019 adalah 47% siap.
En Zamri Shaari, Ketua Pengurusan Kelulusan PDP kemudiannya menyampaikan maklumat tentang amalan rasionalisasi kos untuk Laluan SSP. Beliau menjelaskan tentang langkah-langkah yang diambil oleh PDP bagi mengurangkan kos pembinaan sementara mengekalkan kualiti keseluruhan perkhidmatan. Beberapa soalan turut diajukan dari para hadirin berkenaan perkara ini seperti kemudahan yang akan ditangguhkan dan status tanah yang telah diperoleh sebelum ini untuk Laluan SSP.
Sesi taklimat berakhir dengan jamuan ringan untuk para hadirin.







