Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) telah menjadi tuan rumah kepada 25 pelajar dan pensyarah dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke stesen bawah tanah Cochrane pada 2 Jun 2016.
Delegasi ini diketuai oleh Ketua Pusat Pengajian Fakulti Kejuruteraan Awam, UiTM Encik Mohd Hisbany Mohd Hasim, dan adalah sebahagian dari International Conference on Concrete Engineering and Technology 2016 (CONCET 2016). Persidangan ini telah berlangsung selama 3 hari dan lawatan ke stesen bawah tanah MRT merupakan salah satu aktiviti program tersebut.
Lawatan bermula dengan Timbalan Pengurus Besar, Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan MRT Corp, Encik Leong Shen-Li menyampaikan maklumat pengenalan dan taklimat tentang projek kepada Encik Hisbany dan para delegasi di pusat pelawat stesen Cochrane.
Selepas selesainya penyampaian Encik Leong, Pengurus Terowong MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd, Encik Derek Eng pula memberikan maklumat tentang kerja-kerja terowong yang dijalankan untuk MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (Laluan SBK). Pandangan geografi dan cabaran yang telah dihadapi oleh Laluan SBK juga turut dikongsi.
Selesai sesi taklimat, para delegasi dibawa melawat stesen Cochrane, yang merupakan salah satu daripada tujuh stesen bawah tanah projek Laluan SBK.
Lawatan ini diketuai oleh Jurutera Loji MMC Gamuda Encik Thomas Chin dan Penyelia Keselamatan Kanan MMC Gamuda (Stesen Cochrane) Encik Karuagaran Subramanin.
Jamuan makan tengahari mengakhiri lawatan.





