SEBUAH taklimat untuk media berkenaan MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (Laluan SSP) telah dianjurkan di Pusat Informasi MRT, Seri Kembangan pada 4 Julai 2016.
Taklimat tersebut bertumpukan kawasan Serdang dan Seri Kembangan dengan kehadiran Ahli Parlimen Serdang, YB Dr Ong Kian Ming.
Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Dato’ Najmuddin Abdullah memulakan sesi dengan menyambut kehadiran YB Ong dan para wartawan dari pelbagai media berlainan.
Beliau kemudiannya menerangkan status keseluruhan projek. Beberapa langkah diambil untuk mendapatkan kelulusan dari Kerajaan Malaysia bagi Laluan SSP telah dikongsi seperti Penilaian Kesan Alam Sekitar.
Projek MRT akan memainkan peranan penting untuk mengurangkan kesesakan jalan raya di kawasan sesak Serdang dan Seri Kembangan. Bilangan kereta akan berkurangan dengan Projek ini.
Najmuddin juga memberitahu hadirin bahawa depoh keretapi di Serdang akan dibina. Saiz depoh ini lebih kecil berbanding dengan depoh di Sungai Buloh dan Kajang. Depoh Serdang akan berupaya untuk kerja penyelenggaraan ringan keretapi MRT dan membolehkan pengoperasian bermula dari jajaran selatan Laluan SSP.
Sebelum mengakhiri ucapan beliau, Najmuddin menjelaskan bahawa terdapat tiga hab informasi MRT untuk orang awam mendapatkan maklumat tentang MRT Laluan SSP. Pusat Informasi MRT, Kios Informasi MRT dan Trak Informasi MRT telah ditubuhkan sebagai saluran orang awam mendapatkan maklumat tentang Projek MRT.
YB Ong kemudiannya mengambil alih dan menegaskan tentang impak positif pembinaan Projek MRT untuk penduduk Serdang. Melalui pengalaman peribadi beliau, YB Ong berkata kepada Najmuddin dan pihak media bahawa perkhidmatan bas pengantara akan menjadi sangat penting. Pihak-pihak berkepentingan digalakkan untuk memberikan maklum balas supaya sistem bas ini dapat berjalan lancar.
Sesi ini berakhir dengan sesi soal jawab untuk Najmuddin, YB Ong dan Timbalan Pengarah Projek MMC Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd MRT Laluan SSP Encik Maslan Othman.







