SURAU As-Salam di Kampung Selamat, Sungai Buloh telah berwajah baru setelah menerima kedatangan kakitangan dari MRT Corp, MMC Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd (MMC Gamuda) dan Syarikat Muhibbah Perniagaan dan Pembinaan Sdn Bhd (SMPP) serta subkontraktor pada pagi 14 Jun 2014 untuk menjalankan aktiviti mengecat semula bangunan surau tersebut.
Ini merupakan aktiviti kedua yang telah dijalankan di bawah Program Sukarelawan Kakitangan MRT Corp (EVP).
Lokasi Kampung Selamat terletak berhadapan dengan Kampung Baru Sungai Buloh bersebelahan dengan Pakej Kerja MRT V1 yang sedang dibina oleh SMPP.
Kira-kira 60 orang kakitangan dan penduduk Kampung Selamat telah menyertai program tersebut.
Semasa aktiviti tersebut, subkontraktor SMPP yang hadir termasuk Trans Resources Corporation Sdn Bhd yang sedang membina stesen MRT di pakej kerja V1 dan VSL Engineering (M) Sdn Bhd yang merupakan Operator Pelancar Gantri untuk pakej tersebut.
Program telah bermula dengan ucapan aluan oleh Encik Amir Mahmood Razak, Pengarah Jabatan Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam MRT Corp, diikuti dengan ucapan oleh Ketua Persatuan Penduduk Kampung Selamat Tuan Haji Halid Samijo.
Persiapan untuk mengecat telah dilakukan sehari lebih awal apabila pekerja dari SMPP telah membersihkan dinding surau tersebut, sementara pada hari aktiviti, kerja-kerja mengecat telah dilakukan. Program tersebut bermula pada jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 1.00 tengah hari.
Selain aktiviti mengecat dinding surau, pihak MRT Corp juga telah memberi sumbangan kewangan sebanyak RM2,000 untuk persiapan pihak surau bagi menyambut bulan Ramadhan.
MRT Corp mengadakan program EVP untuk memberi peluang kepada kakitangan MRT Corp, Rakan Pelaksana Projek dan kontraktor MRT menyumbang kembali kepada masyarakat setempat di sepanjang laluan Jajaran MRT Sungai Buloh-Kajang.

























