SEBUAH delegasi daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah menjalankan pemeriksaan ke atas bas pengantara pada 1 Disember 2016. Bas-bas ini akan digunakan untuk MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (Laluan SBK) kelak.
Pada lawatan ini, delegasi tersebut, yang telah diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif SPAD Encik Mohd Azharuddin Mat Sah, telah diberikan taklimat oleh Ketua Bas Pengantara dan Perancangan Infrastruktur Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Encik Rudyanto Azhar tentang persediaan bas pengantara Laluan SBK untuk Fasa Pertama yang akan mula beroperasi pada 16 Disember 2016.
Para delegasi telah diberitahu bahawa sejumlah 112 buah bas akan disediakan untuk 26 laluan dari 12 stesen yang akan mula beroperasi pada hari tersebut.
12 stesen yang dinyatakan adalah Sungai Buloh, Kampung Selamat, Kwasa Damansara, Kwasa Sentral, Kota Damansara, Surian, Mutiara Damansara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Phileo Damansara, Pusat Bandar Damansara dan Semantan.
Bas pengantara akan beroperasi di kawasan perumahan dan komersial yang terletak dalam radius 10km dari stesen MRT.
Lawatan ini telah merangkumi perjalanan di dalam bas di mana delegasi SPAD disertai oleh pihak media untuk dibawa melalui laluan sebenar T101 yang menghubungkan Stesen MRT Sungai Buloh dengan Bukit Rahman Putra.
Selepas perjalanan berakhir Azharuddin memberitahu pihak media beliau gembira dengan bas pengantara yang disediakan untuk Laluan SBK.
“Pihak kerajaan mahukan kadar tambang yang berpatutan bagi memastikan semua orang mampu menggunakannya. Oleh sebab itu, kadar bas pengantara yang diluluskan adalah berharga hanya RM1 “ kata beliau, sambil menyatakan bahawa kekerapan bas ini ialah pada setiap 10 hingga 15 minit.
Rudyanto, manakala, telah memberitahu media bahawa dari Disember 2016 hingga Julai 2017, perkhidmatan bas pengantara akan menghubungkan Stesen Pusat Bandar Damansara dengan KL Sentral di mana para pengguna boleh menggunakan perkhidmatan kereta api yang lain seperti LRT, KTM Komuter, KLIA Ekspres, KLIA Transit dan monorail.
Ini adalah kerana tiada pertukaran langsung antara Laluan SBK dengan perkhidmatan kereta api yang lain di pusat bandar sehingga Fasa Kedua pengoperasian yang akan bermula pada Julai 2017.













