Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) telah menyerahkan sebuah model tren MRT kepada SJK (C) Jalan Davidson dalam satu majlis yang dilangsungkan pada 7 Julai 2014 dalam usaha mempromosikan Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang.
Model tren tersebut adalah yang kedua yang telah diberi kepada sekolah yang terletak berhampiran MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang. Model tren yang pertama telah diberi kepada SRK dan SMK Convent Kajang pada 3 July 2014.
Model tren yang diberikan adalah dengan rekabentuk “Diamond Express”, salah satu daripada tiga rekabentuk untuk tren MRT yang telah dikemukakan oleh kontraktor pakej kerja sistem untuk tren elektrik, Siemen AG dari Jerman. Rekabentuk yang lain adalah “Guiding Light” dan “Hibiscus Star”.
Rekabentuk “Guiding Light” telah dipilih sebagai rekabentuk untuk 58 buah tren yang akan beroperasi di sepanjang Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang.
Model tren tersebut berukuran 3.4m dan akan diletakkan di lokasi berhampiran dewan sekolah yang diberi nama “Sudut MRT”.
Seramai 1,700 orang pelajar telah hadir untuk majlis penyerahan model tren yang telah diadakan di dewan sekolah.
Kesemua pelajar amat gembira dengan hadiah tersebut dan telah memberi sambutan yang meriah kepada wakil-wakil MRT Corp.
Guru Besar SJK (C) Jalan Davidson Encik Pang Chong Leong telah memulakan majlis dengan ucapan pembukaan, diikuti dengan ucapan oleh Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam MRT Corp, Encik Amir Mahmood Razak.
Amir juga telah memberi penerangan berkaitan tren MRT kepada semua yang hadir.
MRT Corp juga membawa Trak Informasi MRT (MRT Information Truck) yang diletakkan di kawasan sekolah selama seminggu. Lori tersebut dapat memberi akses yang lebih mudah kepada para pelajar dan guru-guru untuk mendapatkan maklumat mengenai projek MRT. Terdapat juga beberapa permainan yang menarik untuk para pelajar seperti permainan tangga dan ular (Snake and Ladder), permainan putar dan menang (Spin and Win) dan Kuiz MRT.
Program penglibatan sekolah yang dianjurkan oleh MRT Corp adalah untuk mengeratkan hubungan antara MRT Corp dan pihak sekolah yang mungkit mendapat kesan daripada kerja-kerja pembinaan projek MRT. Program ini juga bermatlamat untuk meningkatkan tahap kesedaran terhadap pengangkutan rel bandar di kalangan pelajar yang akan menjadi pengguna di masa hadapan.











