Dalam usaha untuk mempertingkatkan aspek keselamatan Projek MRT, Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) telah menganjurkan Seminar Keselamatan dan Kuarters Pekerja pada 4 September 2019.
Berlangsung di Pusat Latihan KVMRT di Sungai Buloh, ini merupakan tahun ketiga seminar dianjurkan oleh Bahagian Piawaian dan Pematuhan MRT Corp, dengan matlamat untuk menyampaikan undang-undang semasa, polisi bagi kod amalan, program dan langkah seterusnya mengenai penginapan pekerja serta untuk mendidik para peserta tentang peraturan dalam melantik pengawal keselamatan mengikut Akta Keselamatan Peribadi 1971.
Hadir pada seminar adalah para wakil dari MRT Corp, MMC Gamuda KVMRT Sdn Bhd (MGJV), Kontraktor Pakej Kerja bagi MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) dan sebilangan agensi kerajaan.
Penceramah pertama seminar adalah Encik Che Rokman Che Awang dari Jabatan Tenaga Kerja, yang memberi ceramah tentang ‘Pindaan ke atas Piawaian Minimum dalam Akta Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990’. Beliau menyentuh topik tanggungjawab majikan dalam menyediakan penginapan yang selesa dan bersih untuk pekerja, termasuklah keperluan minimum penginapan. Beliau juga memberi peringatan kepada para peserta untuk tidak mendiskriminasikan pekerja memandangkan mereka berada di tanah asing mencuba untuk mencari rezeki.
Datang dari Polis Diraja Malaysia, penceramah kedua adalah ACP S.Shanmugamoorthy A/L Chinniah dengan topik ‘Jenayah Kejam’. Beliau menerangkan tentang bagaimana pasukan polis menjalankan kerja-kerja asas untuk mengkaji kadar jenayah di suatu kawasan, dan kepentingan untuk tidak membuat penangguhan atau menafikan laporan jenayah. Statistik yang dikumpulkan dari laporan membolehkan polis untuk mengatur sokongan ke kawasan yang terjejas, yang membolehkan pencegahan jenayah dapat ditadbir dengan lebih baik. Beliau juga memuji model Kuarters Pekerja yang akan melindungi pekerja dari menjadi sasaran penjenayah.
Selepas rehat pagi sebentar, seminar diteruskan dengan Encik Mohamed Zamri Mohd Zain dari PLANMalaysia, yang bercakap tentang ‘Panduan untuk Perancangan Penginapan bagi Pekerja Asing’. Beliau berkongsi tentang kaedah pembangunan Kuarters Pekerja dan memberi peringatan kepada para peserta untuk menyediakan penginapan yang berkualiti dan berfaedah kepada para pekerja.
Dalam ucapan beliau merasmikan seminar,Pengarah Piawaian dan Pematuhan MRT Corp, Tuan Haji Mohd Yusof Kasiron menekankan semua warga kerja yang terlibat dalam Laluan SSP hendaklah memastikan pematuhan ketat terhadap kewajipan keselamatan, seperti yang dicatatkan di dalam kontrak, dalam memastikan keselamatan projek berada di tahap tertinggi. Beliau juga memberi peringatan untuk melantik pengawal keselamatan yang sah mengikut undang-undang.
Dalam mengiktiraf usaha yang dijalankan oleh pengurusan Kuarters Pekerja, Pengurusan Kuarters Pekerja Terbaik 2019 dan Pengurusan Keselamatan Kuarters Pekerja Terbaik 2019 telah dianugerahkan kepada dua Kuarters Pekerja terbaik. Anugerah pertama dinilai berdasarkan kriteria pengurusan, kemudahan, kebersihan dan penyelenggaraan, manakala anugerah kedua berdasarkan kepada operasi dan penyelenggaraan, pengurusan akses ke tapak, kawalan pencerobohan tapak, pemgambilan pekerja, aspek undang-undang, pemeriksaan dan juga disiplin peribadi berkenaan keselamatan,
Pengurusan CLQ Terbaik 2019 dianugerahkan kepada IJM Corporation Berhad dan Pengurusan Keselamatan CLQ Terbaik 2019 dianugerahkan kepada Malaysian Resources Corporation Berhad.
Sebuah sesi dialog yang dikendali oleh Penolong Pengurus MRT Corp, Encik Haliman Othman berlangsung selepas makan tengah hari bersama pengurus-pengurus dari ketiga-tiga Kuarters Pekerja di Serdang, Sungai Buloh dan Cheras. Mereka, yang terdiri daripada Tuan Haji Omar Mohamed dari Mudajaya Berhad, Encik Muhd Yus Rezza Mahdum dari IJM Corporation Berhad dan Encik V. Visvanathan dari MGJV, berkongsi tentang cabaran dalam menguruskan Kuarters Pekerja. Mereka juga menekankan untuk sentiasa mempunyai idea baru dan terus memperbaharui senarai semak. Senarai semak tersebut harus mempunyai beberapa faktor utama seperti kebersihan tandas, kawasan dapur dan lain-lain.
Seminar diteruskan dengan pembentangan oleh Dr. Norian Ismail dari Jabatan Kesihatan Selangor dengan topik ‘Kebersihan Peribadi dan Alam Sekitar ‘. Beliau menjelaskan tentang jenis penyakit yang biasa berlaku di Malaysia, perbezaan di antara penyakit berjangkit dan tidak berjangkit dan bagaimana untuk mengurangkannya, dan kepentingan memastikan kebersihan diri dan persekitaran yang bersih.
Para peserta pulang dengan pelbagai maklumat dan pengetahuan yang kemudiannya dapat diterapkan dalam pengurusan keselamatan dan Kuarters Pekerja Laluan SSP, dalam memajukan pengurusan projek.













