Lawatan setengah hari ke tapak Stesen MRT Ampang Park telah dianjurkan untuk PLANMalaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa) oleh Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) pada 5 Mac 2019.
Lawatan tersebut adalah susulan kepada seminar perkongsian ilmu pengetahuan yang telah diadakan pada Januari lalu mengenai terowong dan pembinaan stesen bawah tanah MRT. Kedua-dua lawatan dan seminar merupakan sebahagian daripada persediaan bagi Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan PLANMalaysia untuk ‘Garis Panduan Pembangunan Stratum dan Kajian Kes’, yang bertujuan untuk menjadi panduan kepada pihak berkuasa tempatan, para pemaju dan pihak berkepentingan dalam pembangunan bawah tanah.
Delegasi yang terdiri daripada 19 warga kerja dan perunding tersebut telah diketuai oleh Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan PLANMalaysia, Dato’ Dr Zainah Ibrahim.
Satu penyampaian mengenai Projek MRT telah diberikan kepada para delegasi oleh Pengurus Projek II Stesen Bawah Tanah Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya MRT Corp, Megat Suwardi Said. Beliau berkongsi tentang butiran Stesen Ampang Park seperti susun atur dan bahagian serta profil geologi. Kemajuan kerja pembinaan stesen juga telah dinyatakan di dalam penyampaian beliau, di samping risiko utama dan cabaran-cabaran yang dihadapi.
Para pelawat kemudiannya membuat lawatan ke tapak, malah turut turun ke aras ruang legar bawah stesen untuk mendapatkan gambaran yang lebih baik tentang pembangunan bawah tanah sebagai persediaan untuk kajian kes mereka.
Lawatan itu diakhiri dengan pertukaran hadiah diikuti dengan makan tengah hari yang telah disediakan di pejabat tapak.









