HAB Informasi Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) bagi MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (Laluan SSP) telah dilancarkan secara rasminya pada 30 Mei 2016, di Pusat Informasi MRT Seri Kembangan.
Hab ini merangkumi dua Pusat Informasi MRT (MIC), satu Kios Informasi MRT (MIK) dan satu Trak Informasi MRT (MIT).
Pengarah Projek MRT Corp Laluan SSP, Dato’ Amiruddin Ma’aris dan Pengarah Projek Laluan SSP MMC Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd Encik Param Sivalingam telah merasmikan hab tersebut.
Kedua-dua MIC boleh di dapati di:
i) Pusat Informasi MRT, Jalan Sultan Azlan Shah
Unit A-2-8, Viva Mall, No. 378, Jalan Sultan Azlan Shah, 51200 Kuala Lumpur.
ii) Pusat Informasi MRT, Seri Kembangan
D-11-G, Jalan Atmosphere 7, Pusat Perniagaan The Atmosphere, 43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan.
MIC ini akan beroperasi pada hari Isnin ke hari Jumaat dan dibuka pada pukul 9.00 pagi hingga 6.00 petang.
Manakala MIK adalah kios yang bergerak ke lokasi baru setiap dua bulan di pusat-pusat membeli belah, pasar raya, hab pengangkutan dan berlokasi di tempat-tempat yang mempunyai trafik tinggi pejalan kaki.
MIT akan bergerak sepanjang Laluan SSP dan pada kebiasaannya akan ditempatkan di pasar pagi dan malam, masjid dan tempat beribadat yang lain, sekolah dan institusi pengajian dan tempat-tempat awam. Maklumat jadual dan lokasi MIT, yang beroperasi pada pukul 9.00 pagi hingga 6.00 petang, dikemaskinikan di laman web MRT (www.mymrt.com.my) dan platform-platform media sosial (MRTMalaysia).
“Hab-hab informasi ini telah ditubuhkan untuk satu tujuan – sebagai saluran untuk orang awam mendapatkan maklumat tentang Projek MRT.
Oleh sebab itu, ia adalah satu lokasi atau saluran bagi Projek MRT untuk berhubung dengan orang awam” kata Amiruddin.
Hab-hab informasi ini dilengkapkan dengan papan maklumat ciri-ciri Projek seperti jajaran, lokasi stesen dan manfaat-manfaat MRT. Terdapat juga applikasi interaktif “Hawkeye” yang memberikan paparan udara 360 darjah untuk keseluruhan jajaran.
Sempena pembukaan hab-hab informasi ini, MRT Corp telah menganjurkan pertandingan “Snap & Check-In” yang berlangsung dari 16 Mei 2016 hingga ke 24 Mei 2016. Pertandingan ini adalah sebahagian daripada kempen kesedaran untuk menarik perhatian orang awam untuk melawat pusat-pusat informasi MRT.
Peserta pertandingan dikehendaki mengambil gambar mereka di salah satu MIC, dan memuat turut gambar mereka ke Facebook atau Instagram. Gambar-gambar yang kreatif akan dipilih dan pemenangnya akan menerima wang tunai bernilai RM200 dan barangan MRT.
Enam pemenang pertandingan ini adalah: Azli Mohd Top, Wong Jun Ho, Sahibah Mohd Salleh, Afanddy Hushni, Noor Hasseimah Mohd Halim, Chandra Bahadur Tamang.
Mereka telah dijemput untuk acara pembukaan hab informasi MRT dimana mereka menerima hadiah mereka.







