Fasa Kedua MRT Laluan Putrajaya bakal memulakan operasi tidak lama lagi sedang melalui operasi ujian dan percubaan yang diperlukan. Jajaran baharu ini diuji dari aspek keselematannya bagi memastikan ia selamat, berfungsi dan cekap beroperasi sepenuhnya. Ini dicapai melalui latihan Pelan Tindak Balas Kecemasan (ERP), yang dikendalikan oleh pengendali MRT, Rapid Rail Sdn. Bhd.
Latihan ERP, yang digelar ‘BMXPERT 2023’ telah diadakan pada 12 Januari 2023 di Stesen MRT Selatan Bandar Malaysia (BMSS), salah satu daripada lima stesen sementara untuk Laluan Putrajaya. Latihan ini merupakan keperluan mandatori oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), sebelum lesen operasi dikeluarkan untuk Fasa Kedua MRT Laluan Putrajaya.
Hadir untuk menyaksikan latihan simulasi itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Mohd Zarif Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Encik Amir Hamdan, Ketua Piawai & Pematuhan MRT Corp Encik Azhar Sofah dan Ketua Kumpulan Prasarana Kesihatan, Keselamatan, Alam Sekitar & Pembangunan Mampan Encik Idzqandar Abu Bakar.
Dalam latihan ERP ini, beberapa insiden dijalankan untuk menguji keberkesanan pengendalian ERP, serta mengukur kecekapan agensi kerajaan yang berkaitan iaitu Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (BOMBA), Kementerian Kesihatan, Hospital Kuala Lumpur dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), dalam menangani situasi kecemasan terbabit.
Semasa latihan itu, simulasi insiden tren utama diaktifkan, bermula dengan Tren TR201 mengalami masalah isyarat di Stesen MRT Kuchai Lama, mengakibatkan pemindahan kecemasan di platform Utara Stesen MRT Chan Sow Lin. Semasa proses pemindahan, seorang penceroboh lelaki merampas kereta api dan menjadikan penumpang dan kakitangan sebagai tebusan. Operator Tren (TO) telah diacu pisau untuk memandu tren secara manual melawan arus landasan. Pengawal Stesen kemudian memaklumkan Pusat Kawalan Operasi (OCC) tentang situasi itu, di mana, OCC memberitahu pihak berkuasa yang berkaitan tentang situasi itu.
Semasa tren TR201 bergerak melalui BMSS, ia bertembung dengan tren TR202 di Tapak Persilangan Utara BMSS, yang membawa penumpang dari Putrajaya menuju ke Kwasa Damansara. Ini mengakibatkan penumpang mengalami kecederaan akibat perlanggaran serta tren tergelincir dan mengakibatkan kebakaran.
Pusat Kawalan Operasi kemudian mengesahkan kejadian itu melalui CCTV tren dan mengarahkan kakitangan operasi di Stesen MRT Chan Sow Lin dan Stesen MRT Kuchai untuk menuju ke lokasi kejadian untuk mengaktifkan tindakan yang diperlukan.
Pihak berkuasa tiba di tempat kejadian dan mengawal keadaan, dengan PDRM menjadi orang pertama yang tiba di lokasi kejadian dan mula mengesan pelaku, sambil dibantu kakitangan operasi. Peranti pembumian rel ketiga telah dipasang sebagai langkah keselamatan.
Setelah mendapat lampu hijau PDRM, seluruh agensi kerajaan yang terlibat mula memasuki lokasi kejadian bagi memulakan proses pemindahan, dan menyelamatkan serta menenangkan penumpang dan kakitangan di dalam kedua-dua tren tersebut. Penumpang yang mengalami kecederaan dibawa ke kawasan triage dan kemudiannya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.
Apabila keadaan telah stabil, kakitangan dari Jabatan Kejuruteraan Rel Pengendali mula menjalankan siasatan dan kerja-kerja pemulihan untuk membolehkan talian dibuka semula berikutan insiden itu.
Melalui latihan ini, ERP pengendali telah diuji dengan penambahbaikan yang dibuat daripada situasi yang dipelajari. Latihan ERP setengah hari itu berjaya kerana semua pihak dapat melaksanakan peranan dan tanggungjawab mereka seperti yang dirancang.









