Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) telah menjadi tuan rumah kepada 20 orang pelajar Program Pelajar Luar Negara Common Purpose Kuala Lumpur ke Pusat Informasi MRT, Jalan Sultan Azlan Shah pada 15 Jun 2016.
Mereka yang hadir adalah pelajar dari pelbagai institusi termasuk Universiti Glasgow, Universiti Nottingham (Kampus Malaysia), Universiti Exeter dan Universiti Queen Belfast. Program ini berlangsung selama seminggu dengan tema “Merancang Bandar yang Lebih Baik”. Projek MRT telah dipilih untuk memberi maklumat kepada para pelajar tentang bagaimana projek ini dapat menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya yang lebih kondusif.
Lawatan yang berlangsung selama satu jam itu bermula dengan pembentangan mengenai latar belakang Projek MRT oleh Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan MRT Corp, Dato’ Najmuddin Abdullah.
Para pelajar kemudiannya didedahkan kepada Peta Transit Bersepadu Lembah Klang/ Kuala Lumpur untuk pemahaman yang lebih mendalam tentang jajaran kereta api pengangkutan awam semasa, di mana ditunjukkan bagaimana integrasi Projek MRT akan membantu mengisi jurang dalam sistem pengangkutan awam.
Najmuddin menyatakan bahawa halangan tidak dapat dielakkan dalam pembinaan MRT, tetapi ada cara untuk mengatasi cabaran-cabaran untuk membina masa depan yang lebih baik untuk sistem pengangkutan awam.
Pembentangan telah diikuti dengan sesi soal jawab kepada pelajar untuk bertanyakan soalan mengenai projek MRT.
Lawatan tersebut berakhir dengan hidangan jamuan ringan.





