SUKARELAWAN dari Program Sukarelawan Kakitangan (EVP) Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) turun padang sekali lagi, kali ini untuk aktiviti mengecat Dewan Komuniti Taman Shahjaya yang terletak di Cheras pada 21Jun 2014 yang lalu.
Sebanyak 70 peserta telah mengambil bahagian di dalam aktiviti tersebut. Selain daripada kakitangan MRT Corp serta ahli keluarga dan rakan taulan mereka, terdapat juga sukarelawan dari MMC Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd dan kakitangan dari pakej kerja V6 iaitu kontraktor Ahmad Zaki Sdn Bhd. Ramai penduduk Taman Shahjaya juga turut serta dalam aktiviti tersebut.
Dewan Komuniti Taman Shahjaya terletak berhampiran Stesen MRT Bandar Tun Hussein Onn yang sedang dalam pembinaan. Landasan bertingkat MRT yang dalam pembinaan turut melintasi bersebelahan dengan dewan tersebut.
Program tersebut bermula pada jam 8.00 pagi dengan ucapan pembukaan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Wira Azhar Abdul Hamid, diikuti dengan ucapan selamat datang oleh Tuan Haji Zulkifli Haji Abd Ghaffar, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Shahjaya.
Dewan Komuniti itu kerap kali digunakan oleh penduduk Taman Shahjaya untuk menjalankan pelbagai aktiviti. Sepanjang bulan Ramandhan pula dewan itu digunakan untuk menunaikan solat Terawih.
Pada penghujung aktiviti, Tuan Haji Zulkifli melahirkan rasa terharu atas usaha yang dilakukan oleh para sukarelawan. Dia berharap hubungan yang baik di antara pihak MRT Corp dan penduduk Taman Shahjaya dapat diteruskan pada masa akan datang.
Sumbangan bernilai RM1,000 juga disampaikan kepada penduduk di sana. Pihak MRT Corp turut menderma 100 helai sejadah untuk digunakan semasa bulan Ramadhan.
Program EVP merupakan program berterusan yang diadakan oleh pihak MRT Corp untuk membolehkan kakitangannya dan semua pihak yang terlibat dengan projek MRT untuk menyumbang kepada masyarakat yang tinggal disepanjang laluan projek MRT Sungai Buloh-Kajang.













