Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) telah mengambil bahagian dalam bengkel SME BANK XCESS 2016: “Dynamic Financing for Business Expansion” di Pusat Pameran & Konvensyen MATRADE pada 8 Mac 2016.
Tujuan bengkel ini dianjurkan adalah untuk memperkenalkan skim pembiayaan baru yang ditawarkan oleh SME Bank kepada projek-projek perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan yang bertumpu kepada masyarakat luar bandar, perusahaan mikro dan individu yang kurang bernasib baik.
SME Bank bertanggungjawab untuk menyediakan pembiayaan kewangan dan khidmat nasihat kepada PKS Malaysia di dalam kategori yang berdasarkan garis panduan klasifikasi PKS yang dikeluarkan oleh Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan (NSDC).
Penglibatan MRT Corp dalam bengkel ini adalah kerana ia merupakan agensi kerajaan yang menyokong manfaat kewangan yang ditawarkan oleh institusi kewangan milk kerajaan.
Bengkel ini bermula dengan kata-kata aluan oleh bekas ahli Parlimen, Tan Sri Rafidah Aziz.
MRT Corp telah menyediakan satu sesi perundingan pada bengkel tersebut sebagai satu cara untuk menyebarkan maklumat kepada orang awam tentang Projek MRT sempena Rancangan Malaysia Ke 11 (RMK 11).
Pengarah Komersial dan Pengurusan Tanah MRT Corp, Dato’ Haris Fadzilah, telah menyampaikan taklimat berkenaan dengan strategi perolehan untuk MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (Laluan SSP).
Beliau juga telah memberikan maklumat tentang nilai-nilai kontrak yang diperuntukkan kepada kontraktor Bumiputera yang akan disediakan oleh MRT Corp untuk Laluan SSP.





