Dalam menyokong Agenda Bumiputera Kerajaan, Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) bersama-sama dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah membentuk sebuah kerjasama bertumpukan aspek keusahawanan, pendidikan dan pelaburan untuk peruncit Bumiputera di stesen-stesen MRT.
Kedua-dua pihak telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) itu baru-baru ini di Ibu Pejabat MRT Corp. Wakil yang telah menandatangani MoU adalah Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Dato’ Sri Shahril Mokhtar dan Ketua Pengarah MARA Datuk Ibrahim Ahmad.
Bercakap pada majlis itu, Dato’ Sri Shahril berkata program itu akan membantu usahawan Bumiputera yang berkelayakan melalui latihan pembangunan perniagaan serta sokongan kewangan untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam bersaing dengan jenama yang kukuh di pasaran.
Sementara itu, Datuk Ibrahim berkata program ini akan bertindak sebagai platform kepada usahawan Bumiputera untuk mengambil bahagian dalam program ruang niaga MRT.
“Adalah diketahui umum bahawa kedai-kedai runcit di stesen MRT bakal menjadi sebuah perniagaan yang menguntungkan dan kami mahu membantu usahawan Bumiputera agar mereka dapat memainkan peranan yang aktif, membolehkan mereka menjadi peniaga yang berjaya,” katanya.
Beliau berkata kerjasama itu akan meliputi program pendidikan dan latihan di Institusi Pendidikan MARA (IPMa) yang disesuaikan dengan keperluan industri MRT, membolehkan program tersebut melahirkan modal insan yang berdaya saing serta selari dengan keperluan industri.
Turut hadir sebagai saksi adalah Setiausaha Majlis MARA Encik Fazli Rizal Ismail, Timbalan Ketua Pengarah MARA (Khidmat Pengurusan) Encik Azhar Abdul Manaf, Pengarah Komersial dan Pengurusan Tanah MRT Corp Dato’ Haris Fadzilah Hassan, dan Pengurus Komersial dan Pengurusan Tanah (Unit Retail & MSPR) Encik Mohd Faizal Yusof.



