SATU sesi perkongsian maklumat telah dianjurkan oleh Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) untuk Bahagian Binaan dan Selenggaraan Majlis Amanah Rakyat (MARA) pada 4 Disember 2019.
Tiga puluh tiga orang pegawai MARA telah membuat lawatan ke tapak pembinaan Stesen MRT Bandar Malaysia Utara (BMN) untuk menghadiri sesi itu dengan tujuan untuk mendapatkan pendedahan tentang terowong bawah tanah dan pembinaan bertingkat serta mendapatkan pengetahuan berkenaan kesedaran keselamatan dan pertikaian kontrak, seperti yang diamalkan dalam Projek MRT.
Sesi yang telah diadakan di Pusat Informasi MRT Bandar Malaysia ini, dimulakan dengan kata-kata aluan oleh Pengarah Pembinaan Bertingkat MRT Corp, Encik Noor Saidi Musa yang turut menyampaikan satu pembentangan berkenaan kemajuan projek dan risiko-risiko tinggi di tapak stesen bertingkat MRT Laluan Sungai Buloh – Serdang – Putrajaya (SSP), dan juga profil stesen.
Pembentangan seterusnya adalah tentang terowong bawah tanah dan disampaikan oleh Pengurus Kanan Projek I Terowong Bawah Tanah MRT Corp, Encik Alexander William Terry. Pembentangannya meliputi kemajuan terowong bawah tanah MRT Laluan SSP, gambaran tentang teknik penggalian terowong dan teknologi yang digunakan, Mesin Pengorek Terowong, serta susun atur dan bahagian stesen bawah tanah.
Lawatan ini diteruskan dengan pembentangan berkenaan pertikaian kontrak oleh Pengurus Besar Pengurusan Kontrak MRT Corp Sr Azita Mohamed Tahir. Pembentangan beliau menggarap tentang langkah pra dan pasca kontrak, sumber, strategi komunikasi dan factor-faktor luaran.
Pengurus Kuarters Pekerja (CLQ), Kesihatan, Alam Sekitar dan Keselamatan MRT Corp, Encik Muhammad Nor Hadi Kasah merupakan penyampai yang seterusnya. Beliau berkongsi tentang keperluan keselamatan MRT Corp, strategi, CLQ, Pusat Latihan KVMRT dan pelaksanaan tapak untuk Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHE) serta aplikasi mudah alih dan perisian berkaitan yang digunakan dalam pemantauan SHE di tapak pembinaan MRT Corp.
Sebuah taklimat keselamatan telah disampaikan oleh Penolong Pengurus Keselamatan MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd, Encik Norazhar Abd Rahman sebelum rombongan MARA meneruskan lawatan ke tapak pembinaan stesen MRT BMN, di mana mereka berpeluang melawat dek tinjauan.
Sesi berakhir dengan penyampaian cendera hati daripada Pengarah Bahagian Pembangunan dan Penyelenggaraan MARA, Encik Mohd Ridhwan Abdul Yazid kepada Encik Noor Saidi, yang diikuti dengan sesi bergambar berkumpulan.











