Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) bersama MBSB Bank
Berhad menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk
membangunkan usahawan Bumiputera dalam industri, dalam kerjasama
kewangan strategik. Majlis menandatangani perjanjian tersebut telah diadakan
pada 11 April 2023 di Ibu Pejabat Korporat MBSB di Petaling Jaya.
MoU itu menyaksikan kedua-dua pihak bekerjasama dalam pelbagai bidang
untuk membantu usahawan Bumiputera meningkatkan potensi pendapatan
mereka, dan mempercepatkan pertumbuhan dan daya saing dalam pasaran
terbuka.
Majlis MoU itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk
Mohd Zarif Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank Berhad Datuk Nor Azam M. Taib.
Melalui MoU ini, MBSB Bank akan menyediakan pembiayaan kepada
kontraktor Bumiputera dan vendor yang terlibat dalam projek yang diuruskan
oleh MRT Corp. Pembiayaan juga akan diberikan kepada peserta program
MRTS Young Entrepreneur (MYEP), di mana maksimum 15 syarikat akan
menerima dana permulaan (start-up fund) sebanyak RM 5,000 setiap syarikat
selepas penganugerahan kontrak Projek Pautan RTS.
Dalam ucapannya semasa majlis menandatangani perjanjian tersebut, Ketua
Pegawai Eksekutif MRT Corp menekankan bahawa MRT Corp komited dalam
Agenda Bumiputeranya, dan akan terus membantu usahawan Bumiputera
yang berkelayakan untuk meningkatkan daya saing mereka terhadap pemain
yang kukuh dalam pasaran.











