Seramai 30 delegasi dari Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) membuat lawatan teknikal ke tapak Projek MRT yang terletak di Bandar Malaysia pada 3 April 2019.
Lawatan tersebut yang diketuai oleh Jurutera Kanan Jabatan Reka Bentuk JKR Ir. Tuan Khusairry Tuan Abdul Manaf, merupakan sebahagian daripada seminar selama tiga hari bertajuk ‘Ke Arah Penggunaan Bahan Dan Teknologi Terkini Dalam Kejuruteraan Jambatan’ yang dianjurkan oleh Kementerian Kerja Raya Malaysia dan Persatuan Jalan Sedunia (PIARC).
Seminar itu bertujuan untuk memberi peluang bagi memupuk dan menyebarkan ilmu pengetahuan dan pengalaman, tentang penggunaan bahan dan teknologi terkini dalam kejuruteraan jambatan serta menyumbang ke arah kemajuan keseluruhan kejuruteraan jambatan.
Pengarah Kerja-Kerja Bawah Tanah Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Blaise Mark Pearce mengalu-alukan kedatangan para delegasi ke Pusat Informasi MRT Bandar Malaysia Utara dan memberi penyampaian tentang pembinaan stesen bawah tanah dan struktur-struktur berkaitan.
Beliau menjelaskan tentang kerja-kerja penggalian dan cabaran yang dihadapi semasa pembinaan Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK). Beliau juga bercakap tentang fungsi-fungsi dan ciri-ciri Mesin Pengorek Terowong yang telah digunakan untuk Laluan SBK dan kini diguna juga untuk Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya.
Sejurus selesai penyampaian, para pelawat meneruskan lawatan dengan tinjauan ke tapak Stesen Bandar Malaysia Utara termasuk di dek tinjauan.
Lawatan tersebut berakhir dengan pertukaran hadiah diikuti dengan gambar berkumpulan.







