Sebuah majlis makan malam membolehkan Timbalan Menteri Kewangan II, YB Tuan Mohd Shahar Abdullah beramah mesra dengan para peserta Program Usahawan Muda MRT(MYEP) telah dianjurkan oleh Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) pada 6 Ogos 2020 di Pullman Kuala Lumpur Bangsar.
Majlis ini diadakan untuk memberi peluang kepada Mohd Shahar mengetahui mengenai MYEP dan juga mengenali para peserta. Tujuh peserta dari Program Usahawan Muda MRT I (MYEP I) dan 17 dari program yang kedua (MYEP II) menghadiri majlis makan malam tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Datuk Ir Ahmad ‘Asri Abdul Hamid dan rakan sejawatnya dari Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Encik Izwan Zainuddin turut menghadiri majlis, bersama dengan Pengarah MMC-Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd (MGJV) Dato’ Haji Azmi Mat Nor dan Barisan Kepimpinan MRT Corp. CIDB, PUNB dan MGJV merupakan rakan kongsi MYEP di mana kursus industri dan pengurusan telah dianjurkan oleh mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim memulakan program itu dengan ucapan di mana beliau berkongsi latar belakang MYEP seperti, sejarah, objektif dan aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan. Beliau mengakhiri ucapan dengan harapan program serupa MYEP untuk pembangunan sistem rel dan barang ganti juga akan dibangunkan.
Mohd Shahar kemudiannya mengambil tempat di atas pentas untuk mengucapkan penghargaan di atas kejayaan MYEP dan berharap ini dapat dicontohi dalam projek Kerajaan yang lain. Beliau juga menceritakan bagaimana Kementerian Kewangan dapat membantu para pengusaha terutama di bidang kewangan dan mendesak generasi muda untuk memanfaatkan apa yang ditawarkan oleh Kerajaan kepada para usahawan.
Sesi perkongsian kisah kejayaan berlangsung di mana dua peserta dari dua edisi MYEP berkongsi pengalaman mereka. Encik Mohamad Syahmi Seliman dari MSS Builders Sdn Bhd memulakan sesi dan mengimbau perjalanannya dari menghadiri MYEP hingga ke pengalaman kerja dan cabaran yang dihadapinya.
Sesi ini diteruskan dengan Cik Ameiroht Zakaria dari Global Hana Construction Sdn Bhd, yang memberikan latar belakang bagaimana syarikatnya dibina dan pelajaran yang diperoleh semasa menceburkan diri dalam industri pembinaan.
Majlis makan malam diakhiri dengan penyampaian momento dari Datuk Mohd Zarif kepada Mohd Shahar dan sesi gambar berkumpulan bersama tetamu kehormat dan peserta MYEP.













