SEBAGAI sebahagian daripada program yang dianjurkan oleh United Kingdom ASEAN Business Council (UKABC) ke Malaysia, Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) telah menjadi tuan rumah kepada delegasi dari Misi Perdagangan Keretapi United Kingdom 2016 ke Stesen Tun Razak Exchange (TRX) pada 27 Oktober 2016.
Lawatan ini adalah sebahagian daripada program selama dua hari yang melibatkan pembekal keretapi UK yang telah melawat projek-projek keretapi di Singapura dan Malaysia.
Bagi memulakan program hari ini, Pengarah Projek Laluan Sungai Buloh-Kajang (Laluan SBK) MRT Corp Encik Marcus Karakashian telah menyampaikan maklumat ringkas tentang Projek MRT kepada para delegasi di Wisma MRT. Beliau telah menyatakan bahawa setiap Stesen Keretapi Bawah Tanah MRT, mempunyai tema yang unik. Sebagai contoh Stesen TRX, mempunyai tema Korporat Perbankan Islam.
Di samping itu, setakat Oktober 2016, 24 keretapi sudah siap dalam milikan MRT Corp di Depoh Sungai Buloh. Angka ini lebih daripada yang diperlukan untuk memastikan pengoperasian Laluan SBK berjalan iaitu 18 keretapi.
Selepas selesai ucapan Marcus, para delegasi telah menaiki bas untuk ke Stesen TRX.
Sejurus sampai di stesen, Penguasa Tapak Stesen TRX MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd Encik Muhammad Omaraju telah memberikan sebuah taklimat keselamatan kepada para delegasi.
Marcus kemudiannya telah mengetuai delegasi untuk tinjauan mesra stesen. Beliau telah disertai oleh Pengarah Stesen Bawah Tanah MRT Corp Encik Keith Allenby.
Mereka telah menjawab soalan yang ditujukan kepada mereka semasa aktiviti tersebut. Antara perkara yang disebut adalah bahawa stesen ini mempunyai kedalaman 40 meter. Jumlah eskalator sebanyak 21 buah yang dipasang di stesen ini turut dinyatakan.
Lawatan ini berakhir selepas lebih dari satu jam dan delegasi menaiki bas menghala balik ke Wisma MRT.









