DUA PULUH peserta dari kursus Latihan Reka Bentuk Universal dan Aksesibiliti ASEAN University Network – Disability and Public Policy (AUN-DPPnet) melawat kemudahan MRT pada 17 April 2019.
Para peserta terdiri daripada golongan kurang upaya dari rantau ASEAN dan diiringi oleh sepuluh sukarelawan dari Universiti Malaya. Melalui kursus ini, mereka akan memperoleh kemahiran untuk memahami aksesibiliti dan reka bentuk universal untuk menjadi Auditor Akses dan menerapkannya untuk polisi dan pelaksanaan.
Oleh itu, lawatan ini bertujuan untuk mempelajari kemudahan-kemudahan yang telah disediakan oleh MRT bagi golongan kurang upaya di kedua-dua stesen dan tren Laluan Sungai Buloh-Kajang.
Lawatan bermula di Stesen MRT Kwasa Sentral di mana Eksekutif Muda Komunikasi Strategik dan Perhubungan Pihak Berkepentingan Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Encik Maharezan Mahadzir menyambut mesra kedatangan para delegasi.
Pengurus Projek Kanan Reka Bentuk dan Perancangan MRT Corp Encik Mohd Fadzil Abd Hadi kemudian memberi taklimat tentang kemudahan yang disediakan untuk memenuhi keperluan kelainan upaya seperti laluan jalan khas yang lebih luas di pintu kutipan tambang automatik bagi individu yang berkerusi roda, tempat khusus untuk kerusi roda di dalam tren dan jubin sentuhan bagi mereka yang cacat penglihatan.
Delegasi kemudiannya menaiki tren ke Stesen MRT Pasar Seni dan berpeluang untuk mendalami ciri-ciri menarik di sepanjang Laluan SBK dan juga mengenai tren.
Semasa tiba di Stesen MRT Pasar Seni, Fadzil mengambil peluang memberi penekanan kepada tema-tema unik untuk kesemua tujuh stesen bawah tanah Laluan SBK. Beliau juga menjelaskan mengenai prosedur kecemasan di stesen bawah tanah.
Untuk mengakhiri lawatan, para delegasi mengambil gambar berkumpulan sebagai kenangan.











