SEJUMLAH tujuh subkontrak untuk pembinaan MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) berjumlah RM4,843,355.17 telah dianugerahkan kepada kontraktor Bumiputera gred G1-G4 semasa Sesi Cabutan Undi Bumiputera Laluan SSP yang ke 26.
Sesi cabutan undi ini telah diadakan di ibu pejabat korporat Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd yang terletak di Bukit Damansara pada 25 Februari 2020 dan dihadiri oleh para wakil dari pihak Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (PERKOBF), MMC Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd dan Bahagian Pembangunan Kontraktor dan Usahawan (BPKU) Kementerian Kerja Raya.
Dua subkontrak Gred G1 CIDB di bawah Pakej Kerja V208 telah dianugerahkan; kerja-kerja papan tanda trafik bernilai RM155,474.00 kepada Atiq Technology and Resources dan kerja-kerja jalan dan perabut jalan bernilai RM 181,510.87 kepada Tasriya Enterprise.
Hanya satu subkontrak Gred G2 CIDB telah dianugerahkan dalam sesi kali ini. Subkontrak di bawah Pakej Kerja V206 untuk kerja-kerja turapan laluan pejalan kaki bernilai RM260,816.82 telah dianugerahkan kepada DYIM Enterprise.
Dua subkontrak Gred G3 CIDB di bawah Pakej-pakej Kerja V208 dan V206 turut dianugerahkan. Subkontrak di bawah Pakej Kerja V208 untuk kerja-kerja penyangga jalan keluli tergalvani dan besi bernilai RM827,461.80 telah dianugerahkan kepada Fias Enterprise sementara kerja-kerja turapan laluan di bawah Pakej Kerja V206 bernilai RM507,505.68 kepada Syarikat Pembinaan Rashid.
Untuk subkontrak Gred G4 CIDB, dua subkontrak di bawah Pakej Kerja V209 telah dianugerahkan. Kerja-kerja lampu jalan bernilai RM1,629,428.00 telah dianugerahkan kepada Azrin Ideal Enterprise. Satu lagi subkontrak untuk kerja-kerja sistem lampu isyarat bernilai RM1,281,158.00 telah dianugerahkan kepada Ero Builders Enterprise.
Sehingga 31 Januari 2020, sejumlah 163 daripada 185 pakej kerja berjumlah RM115.8 juta dari nilai keseluruhan sebanyak RM263.2 juta telah dianugerahkan kepada kontraktor-kontraktor Bumiputera.





