Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) mencapai satu lagi pencapaian penting untuk Projek MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) apabila menerima pensijilan Sistem Pengurusan Alam Sekitar (EMS) ISO 14001:2015.
Pensijilan tersebut telah dibuat oleh SIRIM QAS International Sdn Bhd di dalam sebuah majlis pada 12 Februari 2020 di Ibu Pejabat MRT Corp di Kuala Lumpur.
SIRIM QAS telah dilantik menjadi auditor untuk pensijilan yang telah dijalankan pada dua peringkat audit pensijilan pada 31 Oktober 2019 dan 27 hingga 29 November 2019.
Latihan ini adalah untuk menentukan pematuhan MRT Corp kepada keperluan piawaian ISO 14001:2015, kebolehan sistem pengurusan untuk memastikan pematuhan kepada pengawalseliaan berkanun dan kontraktual yang berkaitan, keberkesanan sistem pengurusan untuk memastikan objektif yang telah ditentukan tercapai dan mengenalpasti mana-mana bidang yang berpotensi untuk peningkatan sistem pengurusan.
Skop pensijilan adalah untuk pengurusan projek dan pengawasan prasarana keretapi massa yang pesat termasuk perolehan, perancangan, reka bentuk, pembinaan, pengujian dan pentauliahan dan penyerahan Laluan SSP.
Majlis penyerahan sijil menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM QAS Encik Mohd Azanuddin Saleh menyampaikan sijil kepada Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Encik Abdul Yazid Kassim dan disaksikan oleh Barisan Kepimpinan MRT Corp dan juga wakil-wakil dari MRT Corp dan SIRIM QAS.
Semasa majlis tersebut, Encik Mohd Azanuddin mengucapkan tahniah kepada MRT Corp di atas pencapaian ini dan berharap MRT Corp akan meneruskan usaha dan memastikan peningkatan berterusan, bukan sahaja bagi pelaksanaan EMS tetapi juga Sistem Pengurusan Kualiti (QMS) dan sistem pengurusan yang lain pada masa hadapan.
MRT Corp telah mencapai pensijilan semula QMS ISO 9001: 2015 pada 22 Oktober 2019, akreditasi yang telah dimiliki oleh MRT Corp sejak 2016.





