Lapan perwakilan dari Taiwan yang terdiri daripada dua organisasi, Mass Rapid Transit Bureau of Kaohsiung City Government (KMRT) dan Kaohsiung Rapid Transit Corporation (KRTC) telah melawat Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) untuk sesi perkongsian pengetahuan pada 8 Ogos 2019.
Mereka disertai oleh CECI Engineering Consultants Malaysia Sdn Bhd untuk sesi yang diadakan di Ibu Pejabat MRT Corp di Kuala Lumpur. Lawatan itu bertujuan untuk mempelajari pengalaman MRT Corp dalam pembinaan MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) dari segi pengurusan dan operasi sistem.
Penolong Pengurus Besar Perancangan dan Reka Bentuk MRT Corp, Encik Khoo Chee Min memulakan sesi dengan ucapan alu-aluan, diikuti dengan sesi perkenalan oleh setiap perwakilan dan MRT Corp.
Encik Khoo kemudiannya meneruskan dengan pembentangan Projek MRT Lembah Klang, bermula dengan struktur Projek serta peluang komersil, dan disusuli dengan gambaran keseluruhan Projek serta kriteria penyelarasannya. Fakta dan angka, termasuk garis masa bagi Laluan SBK dan MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) juga telah dikongsi.
Pembentangan diteruskan dengan topik cabaran yang dihadapi semasa pembinaan Laluan SBK dan bagaimana MRT Corp berjaya mengatasinya, diikuti dengan kemajuan Laluan SSP dan berakhir dengan maklumat perjalanan dan tambang Laluan SBK.
Para perwakilan telah banyak mempelajari daripada pembentangan itu dan telah mengajukan pelbagai pertanyaan untuk mendapatkan penjelasan dan pemahaman lanjut tentang Projek. Mereka juga berkongsi pendapat dan pengalaman mereka sendiri, untuk bertukar idea.
Gambar berkumpulan diambil di galeri MRT untuk memperingati hari tersebut juga sebagai penamat lawatan.





