Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) telah menganjurkan sesi taklimat umum yang kedua untuk ahli-ahli perundangan pada 22 Februari 2019 di Pusat Informasi MRT Bandar Malaysia Utara.
Para hadirin merupakan kumpulan kedua yang telah dijemput oleh MRT Corp bagi sesi perjumpaan yang diadakan untuk memberi taklimat kepada Ahli Parlimen dan pihak berkuasa tempatan mengenai kemajuan terkini bagi pembinaan di kawasan pakej V203, V204, V205 dan pakej bawah tanah, iaitu dari Batu hingga Bandar Tun Razak.
Seramai 7 wakil dari pejabat Ahli Parlimen dan seorang dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah menghadiri sesi tersebut.
Wakil-wakil ini adalah dari pejabat YB P. Prabakaran (Ahli Parlimen Batu), YB Datuk Seri Rina Binti Mohd Harun (Ahli Parlimen Titiwangsa), YB Fong Kui Lun (Ahli Parlimen Bukit Bintang), YB Teresa Kok (Ahli Parlimen Seputeh) dan YB Dato’ Kamarudin Jaffar (Ahli Parlimen Bandar Tun Razak).
Pengurus Komunikasi Strategik dan Perhubungan Pihak Berkepentingan MRT Corp Wallace Soh Chun Hwei mengalu-alukan para tetamu untuk sesi taklimat dan memperkenalkan latar belakang projek.
Taklimat seterusnya adalah daripada MMC-Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd di mana Penolong Pengurus Perhubungan Awam dan Pengurusan Pihak Berkepentingan Keshavar Ganesparan dan Timbalan Ketua Pengurusan Kelulusan Shariffuddin Mohamed Idris telah menyampaikan pembentangan.
Seperti sesi taklimat pertama yang telah diadakan pada bulan Januari 2019 merangkumi pakej V201 dan V202, para hadirin telah diberi taklimat mengenai kemajuan terkini bagi pembinaan pakej berkaitan serta rasionalisasi dalam usaha penjimatan kos baru-baru ini oleh MRT Corp.
Sesi taklimat berakhir dengan makan tengah hari.







