Satu delegasi dari Kementerian Perancangan, Kerajaan Republik Rakyat Bangladesh telah melawat Malaysia Rapid Transit Corporation (MRT Corp) Sdn Bhd pada 20 Februari 2019.
Lawatan selama setengah hari tersebut telah diadakan di Ibu Pejabat MRT Corp dan dianjurkan oleh Universiti Teknologi Malaysia melalui program UTMSpace sebagai sebahagian daripada lawatan belajar mengenai Penilaian Keperluan Organisasi bagi Pembangunan Infrastruktur dalam Pemantauan dan Penilaian.
Objektif lawatan ini adalah untuk mengetahui tentang sistem dan proses pemantauan dan penilaian projek, memahami pengurusan perubahan dan pendekatan pembinaan kapasiti.
Delegasi terdiri daripada anggota Kementerian Jabatan Pemantauan dan Penilaian Infrastruktur dan merangkumi Pengarah (Timbalan Setiausaha) Unit Teknikal Perolehan Berpusat Encik Shish Haider Chowdhury, Timbalan Setiausaha Cik Hazera Khatun dan Timbalan Pengarah (Penolong Kanan Setiausaha) Cik Sifat E. Jahan.
MRT Corp diketuai oleh Timbalan Pengurus Besar Program dan Perancangan Encik Mohamad Yusof Karim, dibantu oleh Pengurus Besar Jaminan Kualiti Ir. Zulkifli Mohamed, Pengurus Besar Pengurusan Kontrak Sr. Azita Mohamed Tahir, Timbalan Pengurus Besar Encik Maz Mirza Mohd Aminurashid dan Penolong Pengurus Besar Perolehan Encik Hasnul Alfian.
Encik Yusof menyampaikan pembentangan pertama yang bermula dengan kemajuan projek Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) dan cabaran yang telah ditempuhi sebelum ini bagi Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK). Beliau kemudiannya meneruskan ceramah dengan kaedah program kejuruteraan digital yang telah digunakan bagi projek Laluan SSP seperti program pengimbasan laser 3D untuk Pengesahan Model Pemodelan Maklumat Bangunan.
Sesi tersebut diteruskan dengan satu ceramah oleh Ir. Zulkifli, yang telah berkongsi secara mendalam, fungsi-fungsi dan skop Pusat Kawalan Dokumen (DCC) di MRT Corp. Ir. Zulkifli turut membincangkan tentang alat penyambung dan pengurusan Sistem Pengurusan Dokumen Elektronik serta fasa-fasa pengesahan, inisiasi, perancangan dan pelaksanaan sehingga selesai.
Satu sesi soal jawab telah diadakan di mana Encik Shish Haider menyatakan betapa beliau teruja dengan DCC yang begitu berdedikasi bagi memastikan aliran dokumentasi yang lancar. Semasa sesi ini, SR. Azita, Encik Maz dan Encik Hasnul turut berkongsi pengalaman yang telah diperolehi sepanjang Projek.
Lawatan tersebut berakhir dengan lawatan ke Galeri MRT di mana para delegasi berpeluang melihat replika bahagian dalaman tren MRT dan model berskala Projek MRT.









