Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) telah menyerahkan sebuah model tren MRT kepada SRK dan SMK Convent Kajang sebagai usaha untuk mempromosikan Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang di kalangan pelajar yang menuntut di sekolah di sepanjang laluan MRT.
Semasa majlis penyerahan yang diadakan pada 25 Jun 2014 lalu, sebuah model tren MRT dengan reka bentuk yang diberi nama “Hibiscus Star” telah diserahkan kepada pihak sekolah. Model tren MRT yang berukuran 3.4 meter itu akan dipamerkan di kantin sekolah berhadapan bilik guru.
“Hibiscus Star” merupakan salah satu cadangan reka bentuk yang dihantar oleh syarikat Siemens AG Germany, iaitu pembekal tren MRT. Cadangan reka bentuk yang lain ialah “The Guiding Light” dan “Diamond Express”.
Reka bentuk “Hibiscus Star” telah diinspirasikan daripada sekuntum Bunga Raya yang juga merupakan bunga kebangsaan Malaysia. Reka bentuk ini melambangkan keberanian dan kesatuan rakyatnya, sementara lima kelopak bunga raya pula adalah simbolik kepada Rukun Negara.
MRT Corp akhirnya telah memilih reka bentuk “The Guiding Light” untuk tren MRT. Reka bentuknya telah diilhamkan daripada konsep keunikan seni bina Kuala Lumpur.
Sebanyak 500 orang pelajar telah memeriahkan majlis penyerahan tersebut. Semuanya melahirkan rasa gembira dan ucapan terima kasih kepada MRT Corp kerana memilih sekolah mereka sebagai lokasi untuk dipamerkan model tren MRT tersebut.
Sebelum itu, Guru Besar SRK Convent Kajang Puan Khatijah Yusof telah memulakan majlis dengan ucapan alu-aluan, seterusnya diikuti dengan ucapan dan penerangan berkaitan tren MRT oleh Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam MRT Corp Encik Amir Mahmood Razak.
Para pelajar telah memperlihatkan minat yang mendalam terhadap penerangan tentang tren MRT dan reka bentuknya. Terdapat juga tayangan klip video mengenai situasi kesesaksan tren di Jepun pada masa puncak, dan video Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang.
Susulan daripada majlis penyerahan tersebut, MRT Corp telah membawa Trak Informasi MRT (MRT Information Truck) yang diletakkan di kawasan sekolah selama seminggu. Lori tersebut dapat memberi akses yang lebih mudah kepada para pelajar dan guru-guru untuk mendapatkan maklumat mengenai projek MRT. Terdapat juga beberapa permainan yang menarik untuk para pelajar seperti permainan tangga dan ular (Snake and Ladder), permainan putar dan menang (Spin and Win) dan Kuiz MRT.
Pihak MRT Corp mengharapkan program penglibatan sekolah seumpama ini akan dapat mngeratkan lagi hubungan dengan pihak sekolah yang mendapat kesan daripada kerja-kerja pembinaan projek MRT. Program ini juga bermatlamat meningkatkan tahap kesedaran di kalangan pelajar terhadap pengangkutan rel bandar di mana mereka akan menjadi pengguna di masa hadapan.











