ENAM pemuda peminat pengangkutan awam berpeluang untuk melihat sendiri bagaimana Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang (SBK) dikendalikan.
Lawatan ahli kumpulan Penyokong Pengangkutan Awam Darat Muda (Young Land Public Transportation Supporters) yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), enam daripada mereka – Muhammad Ashraff Adnan, 20; Muhammad Adam Zikry Md Zamran, 17; Razim Mansor, 22; Amirur Rashid Noor Zahid, 17; Ho Yee Tatt Adison, 17 dan Aliff Mohd Rafik, 16 – dapat menaiki MRT dan juga telah dibawa ke Pusat Operasi Kawalan (OCC) dan Rolling Stock Maintenance Office (RSMO) di Sungai Buloh Depoh pada 22 Mac 2017.
Program tersebut merupakan sebahagian daripada lawatan yang dianjurkan oleh SPAD untuk remaja yang terpilih yang mempunyai minat yang tinggi dalam industri pengangkutan.
Remaja yang meminati pengangkutan awam ini, telah menaiki kereta api MRT dari Stesen MRT Pusat Bandar Damansara sehingga ke Stesen MRT Kwasa Damansara.
Sepanjang perjalanan tersebut, Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Dato’ Najmuddin Abdullah telah memberikan informasi secara langsung kepada remaja tersebut tentang ciri-ciri yang menarik tentang landasan keretapi serta ciri-ciri keretapi MRT itu sendiri.
Dari Stesen MRT Kwasa Damansara, kumpulan tersebut telah dibawa ke OCC dengan menaiki bas perantara MRT di mana Penyokong Pengangkutan Awam Darat Muda itu telah diberi taklimat oleh Ketua Penyelenggara Keretapi MRT Laluan SBK Encik Ramli Safie berkenaan sistem operasi keretapi automatik dikendalikan serta ciri-ciri keselamatan keretapi MRT.
Mereka kemudian dibawa ke RSMO oleh Ketua Penyelenggaraan Berat MRT Laluan SBK Encik Mohamad Fikri Mokhy di mana mereka dapat melihat bagaimana keretapi menjalani proses penyelenggaraan di depoh tersebut.
Pada akhir lawatan tersebut, Penyokong Pengangkutan Awam Darat Muda itu bergambar sebelum mengakhiri perjalanan mereka di Stesen MRT Pusat Bandar Damansara.















