TARIKH 30 Mei 2013 menandakan satu pencapaian penting untuk Projek MRT apabila Mesin Pengorek Terowong Pembolehubah Ketumpatan atau Variable Density Tunnel Boring Machine (TBM) yang pertama di dunia dilancarkan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Syaf Pelancaran Cochrane.
Dengan pelancaran ini, TBM yang pertama untuk Jajaran MRT Sungai Buloh-Kajang telah memulakan kerja-kerja penggalian terowong menuju ke Stesen Pasar Rakyat, dengan jarak 1.2km.
TBM Pembolehubah Ketumpatan ini direka khas untuk mengendalikan kerja-kerja penggalian melalui keadaan karstik formasi geologi Batu Kapur Kuala Lumpur. TBM ini dicipta hasil usahasama kontraktor bawah tanah Projek MRT, MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd dan pengeluar TBM yang terkenal di dunia, Herrenknecht AG.
Bagi merasmikan pelancaran TBM, Dato’ Sri Mohd Najib menekan butang pada suatu konsol yang didirikan bersebelahan dengan mesin di dalam syaf pelancaran sedalam 30m itu.
Beliau diiringi oleh Pengerusi Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Tan Sri Dr Ali Hamsa, Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Dato’ Azhar Abdul Hamid, Pengarah Projek MRT Corp Encik Marcus Karakashian, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar, dan Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda Bhd Dato’ Lin Yun Ling.
Perdana Menteri kemudiannya melihat bahagian dalaman TBM yang telah dilancarkan, dan meninjau TBM kedua yang sedang dipasang bersebelahan di dalam syaf tersebut.
Semasa menyampaikan ucapan beliau, Dato’ Sri Mohd Najib berkata pelancaran ini menandakan satu pencapaian penting dalam transformasi industri pengangkutan awam negara.
“Setelah siap nanti, Projek ini akan memberi manfaat kepada orang ramai untuk generasi akan datang.
“Kejayaan ini merupakan satu contoh yang baik di mana Malaysia adalah perintis kepada satu bidang khusus iaitu dalam pembinaan terowong. Industri pembinaan terowong akan terus membangun pada masa hadapan dan tidak mustahil Malaysia akan menjadi peneraju dalam industri yang berteknologi tinggi secara global,” beliau menambah.
Beliau berkata Projek MRT akan memenuhi satu matlamat jangka masa panjang, bukan sahaja untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas, tetapi juga untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara.
Empat TBM akan dilancarkan dari Syaf Cochrane. Dua buah, termasuk TBM yang telah dilancarkan, akan menggali ke arah utara menuju ke Stesen Pasar Rakyat yang terletak di dalam kawasan Pembangunan Tun Razak Exchange. Dua buah TBM lagi akan menggali ke arah selatan menuju ke Portal Maluri di mana laluan MRT akan bertukar menjadi jajaran bertingkat menuju ke Kajang.
Sejumlah 10 buah TBM akan digunakan untuk membina bahagian bawah tanah Jajaran MRT Sungai Buloh-Kajang yang mempunyai jarak 9.5km. Enam buah merupakan TBM Pembolehubah Ketumpatan manakala empat buah lagi adalah TBM Keseimbangan Tekanan Bumi.

































