MRT untuk gaya hidup yang lebih mampan
Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) mengambil bahagian dalam sabutan Hari Habitat Sedunia pada tahun ini, yang diadakan di KL Sentral dari 5 hingga 7 Oktober 2013.
MRT Corp mendirikan booth untuk mempamerkan Laluan MRTSungai Buloh-Kajang yang sedang dibina. Penyertaan MRT Corp dalam acara itu selari dengan tema sambutan Hari Habitat Sedunia pada tahun ini, iaitu “Mobiliti Urban”.
Peserta pameran yang lain termasuk agensi-agensi kementerian dan organisasi-organisasi yang lain seperti Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia. Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar turut mengambil bahagian dalam pameran itu.
Sambutan Hari Habitat Sedunia secara rasminya diadakan pada 7 Oktober 2013, kerana ia disambut pada hari Isnin yang pertama bulan Oktober setiap tahun. Acara dirasmikan oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Dato’ Abdul Rahman Dahlan.
Antara aktiviti yang dijalankan adalah persembahan koir dan muzik oleh pelajar. Hadiah-hadiah juga diberikan kepada para pemenang yang menyertai pertandingan fotografi Hari Habitat Sedunia dan aktiviti-aktiviti lain yang dianjurkan Kementerian.
Selepas pelancaran rasmi, Dato’ Abdul Rahman telah menyinggah di booth MRT Corp semasa memulakan lawatan pameran. Beliau disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid yang menceritakan serba sedikit tentang kemajuan pembinaan Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang setakat ini dan bagaimana MRT akan menambahbaik mobiliti di Lembah Klang.
Dato’ Abdul Rahman juga menandatangani buku pelawat selepas 10 minit berada di booth MRT Corp.
Selama tiga hari pameran diadakan, booth MRT Corp menerima sokongan penuh daripada orang ramai dengan hampir 450 pelawat yang mengunjungi booth.





