DALAM usaha untuk memudahkan penggunaan perkhidmatan Mass Rapid Transit (MRT), ahli-ahli Majlis Orang Kurang Upaya telah melawat MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (Laluan SBK) pada 6 Oktober 2017.
Matlamat lawatan ini adalah untuk mereka mencuba sabuk tali yang telah dipasang di dalam keretapi Laluan SBK untuk individu berkerusi roda.
Siemens Malaysia Sdn Bhd (SIEMENS), yang telah dianugerahkan sebagai kontraktor untuk pembinaan tren MRT menghantar wakil mereka untuk menghadiri lawatan ini. Wakil dari Prasarana Malaysia Berhad turut hadir sebagai pengendali perkhidmatan Laluan SBK.
Diketuai oleh Ketua Unit Orang Kurang Upaya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Dr Ruzita Mohd Amin, empat individu berkerusi roda telah memberi maklum balas berkenaan sabuk tali tersebut.
Para delegasi telah menaiki keretapi dari Stesen Kwasa Sentral ke Stesen Taman Suntex dan ini telah memberikan mereka masa yang cukup untuk memberi maklum balas.
Pengarah Projek Metro Klang Valley SIEMENS Encik Patrick Hohenberger telah menyampaikan maklumat kepada delegasi bahawa enam sabuk tali disediakan di dalam setiap tren. Dua pasang sabuk tali akan dipasang di hadapan dan belakang gerabak tren manakala dua gerabak tengah tren akan dipasang sepasang sabuk tali setiap satunya.
Maklum balas dari semua yang terlibat adalah sangat bernilai dan langkah-langkah yang perlu diambil telah dipertimbangkan.
Makan tengah hari telah dihidangkan untuk semua di Stesen Kwasa Sentral di penghujung lawatan ini.









