Satu sesi perkongsian maklumat telah diadakan untuk delegasi dari bengkel Urban Geology 2019 pada 28 Februari 2019 di Pusat Informasi MRT Bandar Malaysia.
Bengkel tersebut dianjurkan oleh Coordinating Committee for Geoscience Programmes in East and Southeast Asia (CCOP) dengan sokongan dari Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia di bawah Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dan British Geological Survey (BGS). Matlamatnya adalah untuk memperkenalkan konsep geologi bandar sebagai satu disiplin di samping memberi peluang untuk berkongsi pengalaman dengan mengkaji kajian kes.
Lawatan ini juga bertujuan untuk memberikan pemahaman yang lebih baik mengenai peranan geologi dalam pembangunan Kuala Lumpur kepada 50 peserta bengkel tersebut.
Penolong Pengurus Besar Jabatan Perancangan dan Reka Bentuk Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Encik Khoo Chee Min memulakan sesi tersebut dengan menyambut mesra para delegasi diikuti dengan taklimat ringkas berkaitan Projek MRT.
Agenda berikutnya adalah penyampaian tentang Geologi Bandar daripada Pengurus Geoteknikal MRT Corp Encik Fatkhur Rahman Zakaria. Beliau menjelaskan tentang cabaran-cabaran yang dihadapi oleh para jurutera semasa membina stesen bawah tanah seperti keadaan tanah di Lembah Klang. Beliau meneruskan penyampaian dengan berkongsi kaedah-kaedah yang telah digunakan bagi kedua-dua Laluan Sungai Buloh-Kajang dan Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya untuk mengatasi cabaran keadaan tanah ini.
Jurutera Bandar Malaysia Utara Encik Ahmad Safiq Mohamad dari MMC-Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd (MGKT) kemudiannya memberikan taklimat mengenai Stesen Bandar Malaysia Utara. Beliau menerangkan tentang keseluruhan ciri-ciri stesen dan memberikan kemajuan terkini mengenai kerja-kerja stesen.
Jurutera Kanan Kilang MGKT Encik Thomas Chin dan Jurutera Elektrikal Encik Bhaldev Singh menamatkan lawatan tersebut dengan berkongsi ilmu pengetahuan tentang fungsi dan ciri-ciri Mesin Pengorek Terowong (TBM) sebelum membawa para delegasi ke Pusat Kawalan TBM, di mana mereka telah berkongsi tentang bagaimana pusat itu beroperasi kepada para delegasi.











