DUA PULUH TUJUH pelabur, penganalisis dan pengurus dana dari pelbagai institusi kewangan telah melawat Pusat Informasi MRT Bandar Malaysia Utara pada 21 Mac 2019. Lawatan ini telah dianjurkan oleh Affin Hwang Investment, sebuah syarikat perbankan pelaburan, sekuriti, pengurusan aset dan pemegang amanah yang terkemuka di Malaysia, sebagai sebahagian daripada program Invest Malaysia 2019 Bursa Malaysia. Para perwakilan diketuai oleh Penganalisis Kanan Pelaburan Affin Hwang, Loong Chee Wei.
Sesi dimulakan dengan Pengurus Besar Komunikasi Strategik dan Perhubungan Pihak Berkepentingan Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Leong Shen-Li mengalu-alukan para delegasi diikuti dengan taklimat berkaitan Projek MRT.
Lawatan selama 2 jam itu telah dihadiri oleh 15 organisasi pelaburan tempatan dan antarabangsa dan membenarkan para peserta untuk memahami proses-proses yang terlibat dalam projek pembinaan infra. Kekurangan tanah rizab bagi keretapi bandar di Malaysia juga merupakan salah satu topik yang dibincangkan bersama para delegasi. Leong juga memberitahu tentang perubahan yang akan berlaku kepada struktur projek dari rakan pelaksana projek kepada struktur kontrak turnkey.
Sesi taklimat diakhiri dengan para delegasi melihat replika Mesin Pengorek Terowong di mana Leong sempat menjelaskan fungsi-fungsi dan ciri-ciri mesin itu, sebelum mengakhiri sesi dengan jamuan ringan.







