SEBUAH sesi perkongsian maklumat Projek Mass Rapid Transit (MRT) telah diadakan untuk pelajar-pelajar Sarjana Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 21 September 2018.
Dr Tey Chun Yean, Pengurus Kanan Reka Bentuk Jabatan Pengurusan Kejuruteraan dan Reka Bentuk daripada MMC-Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd, iaitu Rakan Pelaksana Projek bagi projek MRT, telah menyampaikan gambaran keseluruhan MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) dan MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP).
Delegasi yang merangkumi 23 orang ini diketuai oleh Ketua Kompetensi Siswazah UKM Dr Nurul Huda Abd Karim. Mereka telah diberikan taklimat tentang Projek di Pusat Informasi MRT, Seri Kembangan.
Berkenaan MRT Laluan SBK, Dr Tey menekankan bahawa pengendali perkhidmatan ini, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), telah melaporkan lebih dari 30 juta orang telah menggunakan perkhidmatan ini sejak ia dilancarkan pada Disember 2016. Ini telah dapat mengurangkan bilangan kereta yang memasuki kawasan Lembah Klang. Dr Tey memberitahu sebelum ini, sebanyak 2 juta kereta memasuki kawasan Pusat Perniagaan Kuala Lumpur pada waktu puncak.
Bercakap tentang MRT Laluan SSP pula, beliau telah menerangkan tentang pelbagai cabaran yang Projek ini hadapi dan pengubahsuaian kejuruteraan yang perlu dilaksanakan bagi memastikan Projek ini dibina dengan cara yang selamat. Antaranya adalah span telah dibina dalam jarak yang lebih panjang dari purata panjang iaitu 39.8m. Ini adalah kerana laluan ini akan melalui beberapa kawasan yang melintasi halangan yang tidak boleh ditukar atau alih seperti sungai dan sistem keretapi yang sedia ada.
Timbalan Pengurus Besar Sumber Kemanusiaan Strategik Malaysia Rapid Transit Corporation (MRT Corp) Sdn Bhd Encik Khairunizam Musa pula menjawab soalan dari hadirin tentang peluang kerjaya bersama MRT Corp. Antara soalannnya adalah berapa bilangan tertinggi untuk pekerja dalam permintaan dan beliau menyatakan bahawa kadar permintaan untuk jurutera awam adalah tinggi.
Lawatan ini telah berakhir dengan makan tengah hari dijamu kepada para hadirin.









