Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan Rapid Rail Sdn Bhd telah menandatangani Perjanjian Penyerahan dan Operasi MRT pada 30 Jun 2016.
Perjanjian ini melantik Rapid Rail, sebuah anak syarikat Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) sebagai operator MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (Laluan SBK).
Selain daripada keperluan operasi untuk Laluan SBK, perjanjian ini juga merangkumi penyelenggaraan untuk keretapi, stesen, sistem dan asset yang lain, untuk berada di bawah kewajipan Rapid Rail.
Pertukaran dokumen yang disaksikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah dilaksanakan semasa pelancaran Sambungan LRT Laluan Kelana Jaya dan Ampang di Stesen LRT Putra Heights.
MRT Corp telah diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Dato’ Sri Shahril Mokhtar manakala Dato’ Azmi Abdul Aziz, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, mewakili Rapid Rail.
Shahril berkata ini adalah peristiwa bersejarah bagi MRT Corp kerana ia menandakan transformasi Laluan SBK dari sebuah projek pembinaan ke laluan MRT yang bakal beroperasi.
Sebelum ini, Kerajaan Malaysia telah menetapkan untuk Prasarana, atau anak syarikatnya, menjadi operator Laluan SBK. Ini adalah bertujuan supaya terdapatnya integrasi penuh untuk perkhidmatan MRT dengan LRT dan monorel yang sedia ada, yang turut berada di bawah operasi Rapid Rail.
Mengikut perjanjian, Rapid Rail dilantik sebagai operator untuk terma selama sepuluh tahun, dengan pilihan untuk penyambungan selama lima tahun.
Rapid Rail akan menguruskan operasi Laluan SSP dan mengutip tambang. MRT Corp pula akan mengekalkan pendapatan bukan tambang, seperti pendapatan dari pengiklanan dan sewaan ruang niaga. Tambang akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
Rapid Rail juga akan bertanggungjawab menjaga aset. Kos-kos membaik pulih yang utama bagaimanapun, akan ditanggung oleh MRT Corp sebagai pemilik aset.
Bas pengantaraan pula, yang akan menyediakan sambungan pertama dan terakhir untuk rangkaian MRT, akan dikendalikan oleh Prasarana.
Fasa pertama Laluan SBK – di antara Stesen Sungai Buloh dan Stesen Semantan- akan mula beroperasi dalam bulan Disember 2016. Fasa kedua operasi pula, yang akan merangkumi kesemua laluan, akan bermula pada bulan Julai 2017. Dengan sebab ini, penyerahan tugas operasi daripada MRT Corp kepada Rapid Rail akan dilaksanakan mengikut tarikh operasi kedua-dua fasa.

