PEMERIKSAAN Awam untuk MRT Laluan Sungai Buloh – Serdang – Putrajaya (Laluan SSP) telah bermula pada 15 Mei 2015 di mana gerai pameran yang memaparkan maklumat berkenaan laluan MRT yang terbaru dibuka di pejabat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Majlis Perbandaran Sepang pada hari itu.
Empat hari kemudian pada 19 Mei 2015, tiga lagi lokasi pameran telah dibuka di Quill City Mall, The Mines and Majlis Perbandaran Selayang.
Pada keseluruhannya, Jerayawara Pemeriksaan Awam Laluan SSP akan membuka gerai pameran di 24 lokasi, termasuk di pejabat pihak berkuasa tempatan, pusat membeli-belah, dewan komuniti dan hospital, supaya orang ramai orang akan mendapat informasi mengenai Laluan SSP dan memberikan maklumbalas dalam tempoh Pemeriksaan Awam antara 15 Mei 2015 dan 17 Ogos 2015.
Gerai-gerai pameran ini mengandungi papan maklumat, buku yang mengandungi pelan dan keratan, lokasi stesen, kawasan tadahan bas pengantara dan lukisan jalanraya yang akan diubah jajarannya disebabkan Projek.
Terdapat juga video berkenaan jajaran Laluan SSP dan yang menunjukkan bagaimana maklumbalas boleh diberi. Pengunjung ke gerai pameran juga boleh menggunakan aplikasi interaktif “Hawkeye” di mana pandangan udara 360 darjah keseluruhan jajaran boleh dilihat.
Gerai-gerai pameran ini dikendalikan oleh Pegawai-Pegawai Informasi dari MRT Corp bersama Rakan Pelaksana Projek, MMC-Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd, serta Pegawai-Pegawai Penyelidikan dari Acorn Marketing and Research Consultants (M) Sdn Bhd, agensi yang mengumpulkan data maklumbalas bagi pihak MRT Corp.
Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Dato’ Sri Shahril Mokhtar telah melawat gerai pameran di Quill City Mall pada 21 Mei 2015 dan melahirkan rasa gembira terhadap sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.
“Kami telah menerima lebih daripada 650 maklumbalas dalam masa seminggu Pemeriksaan Awam untuk Laluan SSP ini dijalankan. Lebih ramai lagi orang yang telah melawat gerai kami. Ini amat menggalakkan dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada orang awam untuk sambutan yang sebegini,” kata beliau.
“Saya berharap lebih ramai orang akan datang dan melawat gerai-gerai pameran ini di mana-mana 24 lokasi yang ada, untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan Laluan SSP dan berikan pandangan dan maklum balas berkenaan Projek ini.
“Maklum balas anda penting kepada kami kerana ia membolehkan kami membangunkan sebuah laluan MRT yang memenuhi keperluan anda,“ katanya.
Pemeriksaan Awam adalah diwajibkan menurut Seksyen 84 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010. Di bawah Akta ini, MRT Corp dikehendaki mendepositkan pelan, keratan dan buku rujukan berkaitan Laluan SSP kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
SPAD kemudian akan mempamerkan dokumen-dokumen ini untuk diperiksa oleh orang awam. Senarai penuh jadual dan lokasi Jerayawara Pemeriksaan Awam boleh didapati di https://www.mymrt.com.my/en/ssp/public-inspection/schedule.











