UNTUK membantu meningkatkan kesedaran tentang fasa kedua MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (Laluan SBK) yang akan dibuka pada 17 Julai 2017, Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) telah menganjurkan kempen “Spot the MRT Train” dan “Catch the MRT Cruiser” dari 30 Mei 2017- 20 Jun 2017.
Kempen ini melibatkan sebuah pertandingan fotografi dan juga pemberian cenderahati MRT kepada individu yang telah dapat mengenal pasti lokasi MRT Cruiser. Kenderaan ini telah dipandu selama 12 hari ke 12 stesen yang berlainan sepanjang jajaran selatan dan seksyen bawah tanah Laluan SBK.
Satu majlis penyampaian hadiah telah dianjurkan pada 9 Ogos 2017 di Pusat Informasi MRT Seri Kembangan untuk meraikan pencapaian para peserta.
Bagi pertandingan fotografi, para peserta perlu mengambil gambar keretapi MRT yang sedang menjalani sesi pengujian di bahagian selatan jajaran Laluan SBK. Mereka kemudiannya perlu memuat naik gambar tersebut ke Instagram mereka dengan #SpotTheMRT dan tag @MRTMalaysia untuk menyertai pertandingan.
Pertandingan ini telah menerima sebanyak hampir 80 penyertaan yang layak. Tiga pemenang utama akan membawa pulang kamera GoPro Hero5 Black 4K Ultra HD, kamera Ricoh Theta dan DJI Osmo Mobile.
Pemenang pertandingan fotografi ini adalah Encik Muhammad Imran Zikri. Imran, 17 tahun, telah berjaya membawa pulang sebuah kamera GoPro Hero5 Black 4K Ultra HD.
Bercita-cita untuk menjadi seorang videographer, Imran, dari SMK Seksyen 10 Kota Damansara berkata, “Saya berasa sangat bangga dapat membawa pulang kamera ini sebagai juara. Banyak masa dan usaha telah dihabiskan untuk menangkap gambar ini. Saya telah mengambil masa selama 2 jam untuk mendapatkan gambar yang saya impikan.”
“Spot the MRT Cruiser” pula telah melibatkan orang awam di sepanjang jajaran selatan dan bawah tanah di mana mereka berkongsi tempat-tempat yang menarik di persekitaran stesen dengan memberikan komen di Facebook MRT Malaysia. Edisi terhad Touch ‘N Go MRT dan barangan MRT seperti payung, kemeja t, buku nota dan mainan teka-teki telah diberikan kepada mereka.
Kempen ini yang telah menarik minat hampir 1,000 peserta juga mempunyai cabutan bertuah bagi memenangi 5 baucar Giant dengan nilai RM200 setiap satu.
Bercakap semasa majlis penyampaian hadiah, Pengurus Besar Komunikasi Strategik dan Hal-Ehwal Pihak Berkepentingan MRT Corp Encik Leong Shen-Li berkata kejayaan kempen ini membuktikan bahawa orang awam sedar dengan perkhidmatan MRT. Individu-invididu ini telah memainkan peranan penting dalam kejayaan Laluan SBK.











