DELEGASI daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), diketuai Pengerusi Tan Sri Syed Hamid Albar, telah melawat beberapa tapak pembinaan MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang pada 8 September 2014.
Delegasi tersebut terdiri daripada Ahli-ahli Suruhanjaya, Ketua Pengawai Eksekutif Encik Mohd Nur Kamal, pengurusan kanan dan pegawai-pegawai daripada Bahagian Rel SPAD. Mereka disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Datuk Wira Azhar Abdul Hamid.
Turut menyertai lawatan ialah Pengarah Hal Ehwal Pihak Berkepentingan dan Pengurusan Tanah MRT Corp Encik Haris Fadzilah Hassan dan Pengarah Projek MMC Gamdua KVMRT (T) Sdn Bhd Encik Satpal Bhogal.
Lawatan meliputi Stesen Muzium Negara (dahulunya dikenali sebagai Stesen KL Sentral), sebahagian terowong di antara stesen dan Portal Semantan, dan Depoh Sungai Buloh.
Delegasi diberi taklimat oleh Pengarah Stesen Bawah Tanah MRT Corp Encik Keith Allenby tentang kemajuan pembinaan tujuh buah stesen bawah tanah Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan di Stesen Muzium Negara. Dari segi pembinaan stesen bawah tanah, kemajuan stesen ini adalah yang paling dihadapan.
Pengarah Pembinaan Terowong Bawah Tanah Encik Blaise Mark Pearce memberikan penerangan kepada para pelawat sambil mereka berjalan masuk ke dalam terowong dari stesen. Seksyen terowong di antara Stesen Muzium Negara dan Portal Semantan merupakan yang pertama siap dibina dengan menggunakan mesin pengorek terowong.
Dalam perjalanan dari Stesen Muzium Negara ke Depoh Sungai Buloh, delegasi dapat melihat bahagian utara laluan bertingkat MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang dari dalam bas. Mereka diberi taklimat berkenaan pembinaan jajaran bertingkat oleh Pengarah Pembinaan Jajaran Bertingkat (Utara) Encik Goh Tze Kh’ng.
Di Depoh Sungai Buloh, yang merupakan depoh terbesar dibina di Asia Tenggara, delegasi telah menyaksikan kemajuan pembinaan trek dan persediaan yang dibuat untuk menerima tren-tren MRT yang pertaman, dijangka berlaku pada bulan November tahun ini. Mereka juga dibawa ke beberapa buah bangunan yang telah dibina di depoh itu. Lawatan di sekitar depoh diketuai Pengarah Sistem MRT Corp Encik Tom Khella.
Lawatan berakhir di depoh dan delegasi telah pulang ke ibu pejabat SPAD di KL Sentral dengan bas.



















