PENGERUSI Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Dato’ Seri Dr Syed Hamid Syed Jaafar Albar telah mengetuai kontingen yang terdiri daripada 35 orang ke Depoh Mass Rapid Transit (MRT), Sungai Buloh pada 27 Mei 2016.
Bekas menteri kanan Kerajaan Malaysia itu telah tiba di bangunan pentadbiran pada pukul 3.15 petang dan berada di depoh selama lebih kurang satu jam.
Sejurus selepas ketibaan beliau, Pengarah Projek Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Laluan Sungai Buloh-Kajang (Laluan SBK) , Encik Marcus Karakashian memberikan laporan kemaskini Laluan SBK. Beliau menekankan bahawa keseluruhan kerja-kerja landasan keretapi MRT telah siap dibina. Kerja-kerja lain berada dalam jadual untuk operasi Fasa Pertama Stesen Sungai Buloh ke Stesen Semantan yang akan bermula pada Disember 2016.
Taklimat keselamatan kemudiannya disampaikan oleh Pengurus Keselamatan dan Operasi MMC Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd Encik Johari Yusoff. Oleh kerana kontingen hari ini akan melawat keretapi yang berelektrik, mereka telah diminta untuk memakai high visibility vests sebagai langkah keselamatan.
Lawatan depoh bermula dengan lawatan ke Bangunan Pusat Operasi. Ketua Semboyan & Kawalan Keretapi MRT Corp, Encik Mahadzir Ahmad, telah menerangkan kepada Tan Sri Dato’ Seri Dr Syed Hamid tentang sistem semboyan dan bagaimana ia dapat mengawal aktiviti-aktiviti keretapi.
Encik Karakashian kemudiannya mengiringi Pengerusi SPAD untuk lawatan ke Woksyop Keretapi Elektrik. Beliau diberitahu beberapa bilangan keretapi yang sudah siap dan ada juga keretapi yang sudah menjalani ujian di beberapa stesen bertingkat.
Lawatan seterusnya adalah ke keretapi yang berelektrik yang diketuai oleh Pengarah Sistem Elektrikal dan Mekanikal MRT Corp, Encik Tarenjit Singh Khella. Sejurus selepas para pelawat menaiki keretapi tersebut, Penolong Pengurus Sistem Elektrikal dan Mekanikal MRT Corp, Cik Vanithashree Raja menerangkan tentang ciri-ciri keretapi dan cara ia berfungsi. 42 kamera telah dipasang di dalam satu keretapi untuk memastikan keselamatan dan operasi berjalan dengan lancar.
Sebelum lawatan berakhir, kontingen telah dibawa ke Bangunan Bengkel Penyelenggaraan Keretapi dimana Pengurus Depoh, Peralatan dan Pengurusan Keretapi MRT Corp, Encik Azlan Mahmud, memberitahu bahawa kerja-kerja penyelenggaraan kerap berlaku. Antaranya, adalah kerja-kerja landasan keretapi, trek geometri dan penyelenggaraan landasan. Lokomotif dikerahkan untuk penyelenggaraan komponen-komponen ini.
Lawatan yang berlangsung selama sejam berakhir dengan jamuan ringan.







