PROJEK MRT Lembah Klang telah mencapai satu lagi detik bersejarah apabila penembusan mesin pengorek terowong (TBM) Maluri 2 berjaya dilakukan di Portal Maluri, Cheras, pada 24 April 2014.
Penembusan mesin pengorek terowong ini adalah penembusan yang kedua di Portal Maluri. Pada 8 April 2014, TBM Maluri 1, “mesin kembar” untuk TBM Maluri 2, telah membuat penembusan di lokasi yang sama.
Dengan selesainya penembusan kedua-dua TBM ini, bahagian selatan terowong Sungai Buloh-Kajang Line – dari Portal Maluri ke Stesen MRT Maluri, Stesen Cochrane dan Stesen Pasar Rakyat- kini telah siap dibina. Jarak bahagian terowong yang siap adalah 2.3km.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Datuk Wira Azhar Abdul Hamid yang hadir pada acara penembusan TBM ini berkata peristiwa ini membuktikan bahawa kerja-kerja pembinaan terowong telah berjalan dengan lancar.
“Pencapaian ini juga membuktikan bahawa kerja-kerja pembinaan terowong dan stesen bawah tanah telah siap sebanyak 50%,” kata beliau.
Beliau mengucapkan tahniah kepada MMC Gamuda KVMRT (T) (MGKT), Kontraktor Kerja Bawah Tanah bagi Projek MRT, atas pencapaian ini. Pihak Pengurusan Kanan MGKT juga turut hadir di acara tersebut.
Portal Maluri merupakan hujung selatan terowong MRT di mana jajaran bawah tanah MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang akan naik ke permukaan bumi dan akan meneruskan perjalanan ke Kajang melalui laluan jejambat bertingkat.
Kedua-dua penembusan TBM ini merupakan penembusan yang keempat dan kelima bagi Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang. Sebelum ini, TBM Semantan 1 dan Semantan 2 telah melakukan penembusan di KL Sentral pada 24 Disember 2013 dan 16 January 2014, manakala TBM Cochrane 1 telah melalukan penembusan pada 9 Januari 2014 di tapak pembinaan Stesen Pasar Rakyat.
TBM Maluri 1 dan Maluri 2 memulakan kerja-kerja mengorek terowong dari Syaf Pelancaran Cochrane pada 5 Oktober 2013 dan 9 November 2013. Terowong yang digali TBM Maluri 1 adalah untuk keretapi yang akan menuju ke arah utara manakala terowong yang dibina oleh TBM Maluri 2 adalah untuk keretapi yang akan menuju ke arah selatan. Kedua-dua terowong ini adalah sepanjang 1.3km.









