ENAM reka bentuk bangku terunggul oleh pelajar-pelajar telah dipilih untuk digunakan di stesen- stesen bawah tanah MRT selepas mereka muncul sebagai pemenang-pemenang utama bagi pertandingan mereka bentuk bangku Projek MRT.
Pertandingan ini adalah anjuran bersama Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd (MGKT), kontraktor pakej kerja bawah tanah bagi Laluan MRT Sungai Buloh- Kajang (SBK).
Nama keenam- enam pemenang ini telah diumumkan di sebuah majlis penyampaian hadiah pada 26 Februari 2016 di Pusat Latihan KVMRT, Sungai Buloh.
Objektif utama pertandingan ini adalah untuk menggalakkan penglibatan pelajar-pelajar untuk mereka bentuk bangku bagi di tujuh stesen bawah tanah dengan cara mencungkil bakat-bakat muda yang kreatif untuk menghasilkan reka bentuk yang estetik, asli dan inovatif.
Majlis penyampaian hadiah merupakan kemuncak pertandingan ini yang bermula pada bulan April 2015 dengan panggilan untuk penyertaan kepada pelajar-pelajar dalam bulan Julai 2015, dan pengundian awam dari 9 hingga 31 Januari 2016.
Ia telah dibuka kepada pelajar-pelajar dari universiti-universiti tempatan khususnya dalam kursus-kursus reka bentuk di mana sebanyak 133 rekaan dari 19 institusi telah diterima dan kemudiannya dinilai oleh 14 orang hakim yang terdiri daripada pakar-pakar industri dan pihak pengurusan kanan MRT Corp dan MGKT.
Enam reka bentuk terbaik telah dipilih sebagai pemenang. Mereka adalah:
1. Mohd Saiful Anuar bin Zamri dari Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah untuk Stesen Muzium Negara
2. Chong Chin Sheng dari Erican College untuk Stesen Merdeka
3. Chan Lee Kang dari Universiti Sains Malaysia untuk Stesen Pasar Seni
4. Lee Ling dari Erican College untuk Stesen TRX
5. Siti Nur Hajar binti Kamsani dari UiTM Seri Iskandar untuk Stesen Cochrane
6. Chia Sen Chung dari Saito College untuk Stesen Maluri
Tiada pemenang diumumkan bagi Stesen Bukit Bintang disebabkan tiada reka bentuk yang dapat memenuhi kriteria dengan lengkap untuk menjadi pemenang.
Keenam-enam pemenang masing-masing memperolehi RM7000.00 dan sekeping sijil manakala 15 reka bentuk yang lain menerima RM3500.00 dan sijil setiap seorang.
Pengarah Projek MRT Corp bagi Laluan SBK, Encik Marcus Karakashian, telah menyampaikan hadiah kepada para pemenang. Pengarah MGKT, Encik Maslan Othman dan ahli-ahli lain barisan kepimpinan MRT Corp dan MGKT telah turut hadir untuk menyaksikan majlis tersebut.
“Kami mencari penyertaan yang boleh menggabungkan keunikan reka bentuk yang praktikal untuk bangku- bangku stesen bawah tanah KVMRT dan kami gembira kami menemui reka bentuk yang sesuai untuk stesen-stesen ini,” katanya.
Menurut Marcus, walaupun terdapat reka bentuk yang sangat kreatif, menggabungkan seni bina yang canggih, kebanyakannya kehilangan markah dari aspek fungsi. “Reka bentuk yang menang perlu sesuai untuk pengeluaran dengan komponen-komponen kejuruteraan ditambah agar bangku selamat dan tahan untuk kegunaan berat dan pada yang sama kekal berfungsi,” katanya.
Sementara itu, Maslan berkata ia telah diputuskan bahawa sebuah pertandingan seperti ini akan dapat memberi motivasi kepada bakat-bakat baru untuk mereka bentuk dan membuat sesuatu dengan kelainan. “Cuba bayangkan kebanggaan yang digalas setiap pemenang atau kumpulan pemenang apabila mereka melawat stesen di mana reka bentuk mereka telah menghasilkan bangku, dan digunakan oleh masyarakat,” katanya.
Ini adalah kali pertama di Malaysia di mana pelajar dapat melibatkan diri secara langsung dengan mereka bentuk sebuah elemen projek infrastruktur yang utama.

















