Forum Pengurusan Risiko yang pertama untuk Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) di Pusat Latihan telah diadakan di Pusat Latihan KVMRT, Sungai Buloh pada 5 Disember 2019.
Jabatan Pengurusan Risiko MRT Corp, daripada Bahagian Piawaian dan Pematuhan, telah menganjurkan majlis tersebut dengan objektif untuk menanam budaya dan kesedaran risiko di kalangan para pekerja MRT Corp. Enam puluh orang Penyelaras Risiko dan Pemilik Risiko Bersama MRT Corp, bersama dengan rakan sejawat daripada MMC-Gamuda KVMRT Sdn Bhd telah menghadiri forum tersebut. Beberapa penceramah profesional yang berpengalaman dalam pelbagai industri telah dijemput untuk berkongsikan pengalaman dan ilmu pengetahuan mereka dalam pengurusan risiko.
Item pertama dalam agenda Forum Pengurusan Risiko 2019 adalah pembentangan oleh Ketua Pegawai Risiko Telekom Malaysia Berhad Encik Mohamad Mohamad Zain dengan topik ‘Pengurusan Risiko dalam Dunia Digital’. Beliau berkongsi dengan para hadirin tentang potensi ancaman keselamatan dalam transformasi digital dan strategi ketahanan digital serta landskap risiko ekosistem digital.
Penceramah kedua pada hari itu adalah Ketua Pegawai Risiko Proton Holdings Berhad, Encik Ahmad Fauzi Adnan. Dengan pembentangan bertajuk ‘Ke Arah Perniagaan Lestari – Pandangan Pengurusan Risiko’, beliau telah menerangkan tentang konsep kelestarian dalam perniagaan seperti prinsip panduan global, penanda aras dan evolusinya. Beliau turut berkongsi tentang impak kelestarian kepada ekosistem serta Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) global dan trend di Malaysia, diakhiri dengan kemajuan, manfaat perniagaan dan strategi untuk integrasi SDG.
Sejurus selepas waktu rehat, forum tersebut diteruskan oleh Pengurus Risiko Malakoff Corporation Berhad, Encik Ahmad Rahman Ruslan dengan pembentangan bertajuk ‘Amalan Terbaik Pengurusan Risiko dan Pelajaran yang Diperolehi dalam Industri Kuasa’. Beliau telah bercakap tentang cabaran dalam melaksanakan Pengurusan Risiko Perusahaan yang berkesan dan pelan tindakannya, serta berkongsi penyelesaian risiko yang inovatif seperti Jabatan Pengurusan Risiko sebagai penggerak dan program penilaian risiko teknikal yang formal.
Ketua Pegawai Tadbir dan Risiko PLUS Malaysia Berhad, Encik Satpal Singh Dillion adalah penceramah seterusnya. Pembentangannya yang bertajuk ‘Kepentingan Budaya Risiko’ membincangkan tentang ciri-ciri budaya risiko yang baik seperti sikap yang jelas dan konsisten dari pihak atasan, bertanggungjawab dan pemilikan yang jelas, serta maklumat risiko yang telus dan bertepatan pada masanya. Beliau juga berkongsi akan kepentingannya kerana ia mempunyai hubungan langsung dengan reputasi, keuntungan dan kelangsungan sesebuah organisasi.
Satu sesi perkongsian oleh Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Encik Abdul Yazid Kassim telah berlangsung di mana beliau telah merujuk kepada beberapa insiden yang lepas dan pengajaran yang telah dipelajari daripadanya, serta risiko, sebab dan akibat yang berkaitan. Beliau turut menzahirkan harapan beliau agar pengetahuan yang telah diperolehi daripada forum ini dapat dimanfaatkan dan dikongsi bersama warga kerja yang lain.
Selepas makan tengah hari, Ketua Pegawai Risiko Malaysia Airlines Berhad, Kapten Dato’ Badrul Hisham Yusoff memulakan bahagian kedua forum dengan pembentangan bertajuk ‘Pengendalian Melalui Gelora’. Beliau telah membuat perbandingan di antara pengurusan risiko dengan risiko penerbangan , di mana penubuhan konteks dan pengenalan risiko, analisis, penilaian, rawatan, pemantauan dan komunikasi adalah setara dengan pelaksanaan pelan bahan api, semakan cuaca dan pelan penerbangan. Tambahan beliau, pengurusan risiko yang berjaya akan beroperasi tanpa disedari, dalam linkungan risiko yang boleh diterima dan secara berterusan.
Forum berhenti seketika daripada pembentangan untuk selingan dalam bentuk Peraduan Atas Talian berkaitan pengurusan risiko. 20 soalan telah tertera di atas skrin, di mana sembilan orang yang berjaya menjawab soalan-soalan tersebut dengan markah tertinggi memenangi hadiah yang disampaikan oleh Pengurus Pengurusan Risiko MRT Corp, Puan Fazila Kamarudin.
‘Pengurusan Kesinambungan Perniagaan (BCM), Strategi Ketahanan Operasi’ merupakan topik terakhir yang telah dibentangkan. Pengarah Pengurusan Risiko Kumpulan Perangsang Selangor Berhad, Encik Mohd Shahari Idris telah membincangkan tentang pelaksanaan BCM dan elemen-elemen utamanya serta manfaat yang diperolehi.
Forum Pengurusan Risiko 2019 boleh dianggap sebagai satu kejayaan kerana ia telah memenuhi objektifnya untuk mempertingkatkan kesedaran dan pengetahuan berharga berkenaan pengurusan risiko kepada para peserta.

















