PERDANA Menteri, Dato’ Sri Mohammad Najib Tun Abdul Razak telah berpeluang menaiki keretapi MRT untuk kali pertamanya pada 1 September 2016. Ia merupakan sebahagian daripada lawatan kerja di mana beliau memeriksa stesen dan menaiki keretapi yang akan beroperasi bagi MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (Laluan SBK).
Lawatan ini merupakan lawatan kerja kelima Perdana Menteri ke Projek MRT. Lawatan-lawatan ini telah memastikan Laluan SBK akan siap pada masa dan kos yang telah ditetapkan.
Lawatan kerja ini telah bermula di Stesen Semantan, dimana Najib telah disambut oleh Pengerusi Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Tan Sri Dr Ali Hamsa, Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Dato’ Sri Shahril Mokhtar dan Pengarah Projek Laluan SBK Encik Marcus Karakashian.
Beliau telah dibawa ke aras platform Stesen Semantan di mana beliau seterusnya menuju untuk menaiki keretapi. Setelah bertolak dari stesen, beliau telah menuju ke Stesen Phileo Damansara – di mana keretapi telah berhenti di Stesen Pusat Bandar Damansara seperti yang akan berlaku apabila operasi harian bermula – sebelum ke Stesen Phileo Damansara.
Sejurus tiba di stesen, Najib telah membuat satu tinjauan mesra dan ditunjukkan aras ruang legar. Semasa beliau melawat aras ruang legar, beliau melihat pintu tiket dan mesin tiket layan diri yang telah siap dipasang. Beliau juga telah berjalan ke jejantas pejalan kaki yang menyeberangi Lebuhraya SPRINT. Jejantas terebut menghubungkan stesen dengan pintu masuk yang terletak bersebelahan Pusat Komersial Phileo Damansara.
Selepas tinjauan ini, Najib telah kembali ke Stesen Semantan dimana lawatan ini telah berakhir.
Turut hadir semasa lawatan ini adalah ahli Lembaga Pengarah dan Barisan Kepimpinan MRT Corp dan juga pengurusan kanan MMC Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd.









