Satu delegasi terdiri daripada 25 warga kerja PLANMalaysia telah membuat lawatan teknikal ke Ibu Pejabat Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan stesen-stesen MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) dan Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) pada 18 Julai 2019.
Timbalan Pengarah PLANMalaysia, Dr. Dzul Khaimi Hailani mengetuai lawatan bersempena dengan kajian oleh PLANMalaysia tentang “Kajian Pelan Induk Penggunaan Tanah Bersepadu untuk MRT Laluan SSP”. Hasil kajian ini adalah sebagai panduan kepada Pihak Berkuasa Tempatan mengenai penggunaan tanah yang sesuai dalam melaksanakan Pembangunan Berorientasikan Transit yang munasabah di sepanjang jajaran MRT Laluan SSP.
Lawatan bermula dengan sebuah taklimat tentang Laluan MRT sebagai “Ketersambungan Rangkaian Koridor Ekonomi dan Rel” oleh Pengurus Besar Hartanah MRT Corp Encik Mohd Nasri Mohamad Nor. Delegasi kemudiannya menaiki tren MRT untuk melihat stesen-stesen MRT Kwasa Damansara dan Sungai Buloh. Mereka meneruskan lawatan dengan pergi ke tapak stesen MRT Laluan SSP; Kepong Baru dan Hospital Kuala Lumpur. Lawatan ke stesen-stesen ini adalah untuk memahami konteks tapak dan persekitarannya serta potensi untuk ketersambungan laluan pejalan kaki dan basikal.







