DUA puluh lima jurutera dari Permanent Way Institution, Malaysia telah melawat Depoh Sungai Buloh Mass Rapid Transit (MRT) pada 9 Ogos 2016.
Lawatan ini telah diketuai oleh Pengurus Besar Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM) Encik Mohd Ramli Mohd Noh dan rombongannya telah sampai di bangunan pentadibran pada jam 10.30 pagi dan berada di depoh selama 2 jam.
Sejurus selepas ketibaan mereka, Pengarah Elektrikal dan Mekanikal Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Encik Tarenjit Singh Khella (Tom) telah memberikan taklimat kepada hadirin tentang lawatan yang mereka akan hadapi pada hari itu.
Tom menyatakan bahawa 41 keretapi telah sudah siap di dalam depoh dan sedang menjalani pengujian. Bilangan ini lebih daripada cukup untuk pengoperasian Fasa Pertama MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (Laluan SBK) untuk bermula oleh kerana ia hanya memerlukan 24 buah keretapi. Beliau turut berkongsi maklumat tentang ciri-ciri depoh seperti penyelenggaraan keretapi, bengkel infrastruktur dan Pusat Kawalan Operasi.
Selepas taklimat keselamatan disampaikan oleh Ketua Pegawai Keselamatan Keretapi MMC Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd Encik Johari Yusoff, para pelawat memulakan tinjauan mesra depoh.
Tinjauan mesra depoh bermula dengan meninjau penyelenggaraan keretapi. Tom dan Johari memberi penjelasan kepada para jurutera tentang pengubahsuaian keretapi dan penyelenggaraan yang sedang dijalankan. Mereka menyatakan bahawa depoh ini adalah untuk kedua-dua projek MRT Laluan 1 dan MRT Laluan 2. Ramli amat kagum dengan saiz depoh ini selepas diberitahu bahawa depoh ini merupakan depoh keretapi terbesar di Asia Tenggara.
Antara ciri-cir penyelenggaraan keretapi ini adalah terdapat 2 platform maya untuk keretapi menjalani ujian perhentian dan juga semboyan di atas landasan untuk simulasi stesen bawah tanah. Lawatan ke sebuah keretapi MRT yang baru sahaja dihantar ke depoh juga dijadualkan. Ketika berada di dalam keretapi tersebut, Tom telah menerangkan bahawa keretapi ini dipasang pemanas untuk membantu dalam pemeluwapan udara. Terdapat juga 22 kamera yang dipasang di dalam keretapi yang berukuran 88 meter panjang ini.
Kenderaaan mesin geometri kemudiannya telah dipamerkan kepada hadirin di dalam bengkel infrastruktur yang berfungsi untuk menyemak profil rel keretapi.
Sebelum mengakhiri lawatan, jurutera-jurutera tersebut telah dibawa ke Pusat Kawalan Operasi di mana mereka diberitahu tentang pelbagai kaedah navigasi untuk mengawal keretapi. Disebabkan oleh keretapi MRT beroperasi tanpa pemandu, Pusat ini digunakan untuk mengawal, mengemudi dan mengawasi keretapi.
Lawatan ini berkakhir dengan Ramli menyampaikan memento kepada Tom sebagai tanda penghargaan melawat Depoh MRT.









