PARA pegawai dari Perbadanan Putrajaya (PPj) telah melawat Kuarters Pekerja (Centralised Labour Quarters) Mass Rapid Transit (MRT) Lembah Klang, di Sungai Buloh pada 9 Jun 2017 untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang pengurusan penginapan sementara pekerja asing.
Sembilan pegawai ini telah melawat CLQ MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (Laluan SSP) Pakej V201 yang dikendalikan oleh Sunway Construction Sdn Bhd.
Ketua Kuarters Pekerja, Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar MRT Corp Encik Mohd Yusof Kasiron; Pengurus CLQ Sunway Construction Sdn Bhd Lt Col (Bersara) Dianand GA Sadris dan Pengurus CLQ (Bahagian Utara) MMC-Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd Encik Putmanathan Supermaniam telah menyambut kedatangan para pegawai tersebut ke kuarters pekerja.
Yusof telah memberi gambaran keseluruhan berkenaan kemudahan ini dan menekankan bahawa 230 pekerja pembinaan warga asing kini ditempatkan di CLQ V201. Tiada kos untuk individu yang menginap di sini kerana kemudahan ini disediakan oleh Projek MRT.
Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja Sementara telah diambilkira dalam pembinaan CLQ untuk MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang.
Satu tinjauan di CLQ telah dianjurkan kepada pegawai PPj yang kelihatan kagum dengan kemudahan yang disediakan di sana.











