Fasa Satu MRT Laluan Putrajaya, laluan kedua di dalam rangkaian MRT Lembah Klang kini dibuka kepada orang ramai mulai 16 Jun 2022.
Jajaran baharu sepanjang 17.5km itu bermula dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu. Dengan 12 buah stesen, laluan tersebut menyediakan transit tren yang amat diperlukan di kawasan berpenduduk padat seperti.Sungai Buloh, Damansara Damai dan Sri Damansara di Petaling Jaya, juga Kepong, Jinjang serta Kampung Batu, di Kuala Lumpur.
Tiga daripada stesen yang pada asalnya merupakan sebahagian daripada MRT Laluan Kajang iaitu Sungai Buloh, Kampung Selamat dan Kwasa Damansara kini telah dipindahkan ke MRT Laluan Putrajaya.
Laluan tersebut dibuka secara rasmi oleh Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob semasa majlis yang berlangsung di waktu pagi, di Stesen MRT Kampung Batu.
Dalam ucapannya semasa majlis, beliau mengumumkan bahawa orang ramai akan menikmati perjalanan percuma untuk semua perkhidmatan pengangkutan awam yang dikendalikan oleh RapidKL, selama satu bulan bermula dari tarikh pembukaan.
Perdana Menteri diiringi oleh Menteri Kewangan YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pengangkutan YB Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed dan Menteri Wilayah Persekutuan YB Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim.
Sejajar dengan pembukaan laluan rel, 13 laluan bas pengantara baharu telah diperkenalkan. Stesen MRT Kampung Batu juga dilengkapi dengan perkhidmatan bas percuma Go-KL (laluan Maroon).
MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu bersambung dengan Laluan MRT Kajang di stesen Kwasa Damansara, di mana penumpang boleh berpindah dengan lancar merentasi platform. Terdapat juga stesen pertukaran dengan perkhidmatan KTM di Sungai Buloh, Sri Damansara Timur (dengan Stesen KTM Kepong Sentral) dan Kampung Batu.













