Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp) telah menganjurkan satu sesi taklimat berkenaan perkembangan kemajuan Projek MRT pakej V201 dan V202 (dari Damansara Damai ke Jinjang) untuk Ahli-ahli Parlimen, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli-ahli Majlis.
Sesi ini telah dijalankan di Pusat Informasi MRT, Jalan Sultan Azlan Shah pada 24 Januari 2019.
Ia telah dihadiri oleh YB Puan Elizabeth Wong (ADUN Bukit Lanjan), Encik Fok Wai Mun (Ahli Majlis Selayang) dan wakil-wakil daripada pejabat YB Tuan R. Sivarasa (Parlimen Sungai Buloh), YB Tuan Tony Pua (Parlimen Damansara), YB Tuan Lim Lip Eng (Parlimen Kepong) serta YB Tuan Mohd Sany Hamzan (ADUN Taman Templer).
MRT Corp diwakili oleh Dato’ Najmuddin Abdullah, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Pihak Berkepentingan manakala MMC-Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd, Rakan Pelaksana Projek (PDP), diwakili oleh Encik Zamri Hasan, Ketua Perhubungan Awam dan Pengurusan Pihak Berkepentingan.
Dato’ Najmuddin memberikan ucapan alu-aluan untuk memulakan sesi diikuti oleh taklimat daripada Encik Mohar Zainal Abidin, Pengurus Kanan Perhubungan Awam dan Pengurusan Pihak Berkepentingan PDP dan selepas itu, Encik Zamri Shaari, Ketua Pengurusan Kelulusan PDP.
Para tetamu telah diberikan taklimat tentang kemajuan terkini pembinaan MRT bagi pakej V201 dan V202 serta rasionalisasi usaha penjimatan kos yang telah dilakukan oleh MRT Corp baru-baru ini.
Mereka juga telah memberikan maklum balas dan menyuarakan keprihatinan mereka berkaitan isu-isu pembinaan terutama sekali berkenaan pengurusan lalu lintas.
Dalam menangani isu-isu ini, MRT Corp telah berjanji untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa bagi mengurangkan impak kerja-kerja pembinaan Projek MRT.
Sesi berakhir dengan jamuan yang telah disediakan untuk para tetamu.







