SEBAGAI persediaan untuk perkhidmatan bas pengantara beroperasi apabila MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (Laluan SBK) bermula kelak, bas pengantara MRT telah menjalani satu sesi audit aksesibiliti untuk orang kurang upaya di Pusat Latihan KVMRT pada 28 September 2016.
Juruaudit yang hadir pada hari itu adalah daripada Jawatankuasa Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MKBOKU) yang berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan (MOT).
Sesi audit ini merupakan salah satu keperluan MOT di bawah Seksyen 27 – Akta Orang Upaya 2008 di mana orang kurang upaya hendaklah mempunyai hak untuk akses kepada dan menggunakan kemudahan, ameniti dan perkhidmatan pengangkutan awam yang dibuka atau disediakan kepada orang ramai atas asas kesetaraan dengan orang upaya.
Semasa pengauditan ini, ahli-ahli jawatankuasa tersebut telah juga memberi maklum balas tentang bas pengantara prototaip yang telah ditunjukkan kepada mereka.
Bermula pada jam 11.00 pagi, Encik Zamri Abas, Ketua Pembinaan Landasan & Penyelenggaraan Kenderaan, Sistem Elektrikal & Mekanikal, Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) telah memberikan maklumat ringkas tentang bas pengantara.
Beliau menyatakan bahawa 112 buah bas akan digunakan untuk fasa pertama Laluan SBK manakala sejumlah 300 buah bas akan digunakan untuk keseluruhan laluan ini apabila ia bermula beroperasi pada Julai 2017. SCANIA AB dan AB Volvo adalah merupakan pengeluar bas-bas ini.
Ciri-ciri bas untuk orang kurang upaya juga telah diterangkan, termasuk tanjakan untuk akses kerusi roda, kawasan yang didedikasikan untuk individu berkerusi roda dan butang khas untuk orang kurang upaya memberitahu kepada pemandu bas untuk memberhentikan kenderaan.
Sebuah sesi soal jawab telah diadakan dengan bantuan Encik Zakaria Kasim, Pengurus Bas MyRapid Laluan SBK, Prasarana Malaysia Sdn Bhd (PRASARANA).
Hadirin lain terdiri daripada Operational Readiness Third Party Interface dan Operational Readiness Marketing and Commercial Taskforce MRT Corp. Wakil-wakil daripada Scania AB, AB Volvo dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut hadir pada hari tersebut.







