Ahmad Wazif, 7 tahun, adalah seorang peminat Transit Aliran Massa (MRT). Beliau tertarik dengan tren dan sering melukis gambar tren pada masa terluang.
Minat Wazif terhadap MRT terserlah semenjak beliau dan keluarga menaiki dan merasai perkhidmatan MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang untuk berulang-alik ke Cheras bagi menjalani rawatan kimoterapi untuk penyakit leukemia yang dihidapinya sejak dua tahun lepas.
Pada 23 Februari 2019, Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) telah berkunjung ke rumah Wazif di Semenyih untuk melawatnya.
MRT Corp yang diwakili oleh Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Pihak Berkepentingan, Dato’ Najmuddin Abdullah telah meluangkan masa untuk beramah mesra dengan Wazif dan keluarganya. Wazif adalah anak bongsu daripada tiga adik-beradik kepada pasangan Encik Mohd Amir Mohd Azir dan Puan Sazrina Ramli.
Semasa lawatan tersebut, Wazif kelihatan sangat ceria dan gembira menyambut kunjungan daripada MRT Corp terutama sekali setelah menerima cenderamata MRT berupa buku aktiviti mewarna yang bertemakan stesen dan tren MRT.
Dato’ Najmuddin turut menyampaikan sebuah bingkai gambar berlatar belakangkan projek pembinaan MRT kepada Wazif sebagai tanda kenangan dan penghargaan di samping boleh menjadi sumber inspirasi kepada Wazif untuk belajar bersungguh-sungguh menjadi jurutera di masa hadapan. Kehadiran MRT Corp juga diharap dapat membakar semangat Wazif dan seterusnya sebagai pemangkin untuk terus berjuang melawan penyakitnya, dan dapat bersaing dengan kanak-kanak lain.
Lawatan ini adalah salah satu inisiatif MRT Corp untuk menghargai dan berkongsi keceriaan bersama peminat MRT selain daripada menjadi prihatin terhadap golongan yang kurang bernasib baik.







