ENAM BELAS delegasi dari Changhua County Government, Taiwan telah melawat ibu pejabat Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) pada 19 Oktober 2017.
Projek MRT adalah sebahagian daripada lawatan delegasi ini ke Malaysia dan Singapura untuk memahami dengan lebih lanjut bagaimana projek tren dibina dan dipantau di rantau ini.
Sebelum ini, mereka telah melawat Land Public Transport Authority, Singapore untuk mendapatkan maklumat tentang perkhidmatan awam yang ditawarkan di negara jiran ini.
Pengarah Perancangan dan Reka Bentuk MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (Laluan SSP) Er Poh Seng Tiok telah mengalu-alukan kedatangan para delegasi dan memberikan taklimat tentang struktur organisasi MRT Corp. Beliau telah menekankan bahawa MRT Corp bukan sahaja pemilik projek bagi MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (Laluan SBK) dan Laluan SSP tapi untuk Laluan Lingkaran yang akan datang.
Sebagai pemilik projek, Poh juga menjelaskan bahawa organisasi ini hanya boleh menjana pendapatan melalui enam cara iaitu: niaga, pengiklanan, perkhidmatan tempat letak kereta, hartanah, telekomunikasi komersial dan teknologi baru dan acara.
Pengurus Kanan Projek I MRT Laluan SBK Encik Peoter Lapinski kemudiannya mengambil alih dan menerangkan tentang struktur tambang perkhidmatan MRT. Beliau memberitahu bahawa Prasarana Malaysia Berhad telah mewujudkan beberapa struktur tambang untuk keperluan berlainan pengguna keretapi.
Para delegasi juga telah diberikan maklumat tentang pertukaran berbayar yang wujud dalam perkhidmatan MRT. Maklumat ini telah menarik perhatian mereka.
Lawatan ini telah berakhir dengan perjalanan pulang dari Stesen Semantan ke Stesen Cochrane.











